Sunday, June 3, 2012


Himpunan Hijau penuh gaya menuju Putrajaya

Analisis Zulkifli Sulong,02 Jun 2012
(Pandangan penuh dalam Stadium Darul Aman malam tadi)

ALOR SETAR: PAS melancarkan kempen menuju Putrajaya malam ini dengan penuh bergaya apabila Himpunan Hijau ke Putrajaya berjalan dengan meriah dan  penuh warna warni.

Himpunan malam ini berjalan ala pesta-pestaan apabila segala bunyi-bunyian dari serunai di samping bendera PAS sentiasa sahaja berkibar memenuhi stadium.

(Mengibarkan bendera satu pendekatan baru dalam majlis yang dianjurkan oleh PAS)

Ia sangat hidup dan merupakan sejarah baru yang dicipta PAS apabila majlis yang dikendalikan oleh Datuk Mahfuz Omar berjalan dengan penuh  jayanya.

Kalau selama ini takbir yang bergema di dalam majlis-majlis PAS tetapi kali ini takbir bergema dengan diiringi serunai dan kibaran bendera PAS, Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri yang memenuhi stadium Darul Aman.


(Datuk Mahfuz yang mengendalikan majlis malam tadi menjadikan acara ini penuh happening)

Keceriaan jelas terbayang kepada semua yang hadir hatta Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sentiasa tersenyum sepanjang majlis ini.

Pendek kata, jika himpunan ini bertujuan untuk memberikan motivasi kepada ahli dan penyokong PAS, Himpunan Hijau ini benar-benar mempersiapkan mereka untuk ke Putrajaya.

Baiah atau ikrar yang dipimpin oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan penolongnya, Datuk Takiyudin Hasan benar-benar meresap ke dalam jiwa para peserta perhimpunan ini.

Hampir semua yang hadir berdiri dengan megah dan sama-sama melaungkan ikrar yang dilafazkan Mustafa dengan bantuan layar besar stadium ini.

(Tiga pemimpin utama di pentas malam tadi)

Gimik himpunan iaitu tendangan 13 biji bola berwarna hijau ke arah penonton oleh enam bekas pemain bola sepak kebangsaan yang kini bersama PAS juga membuatkan peserta himpunan ini teruja.

Mereka sama-sama berebut bola yang ditendang oleh pemain yang sebelum ini menjadi pujaan mereka. Lagu Hijau Kuning yang dimainkan selepas tendangan Radzi Mat Din, bekas Kapten bolasepak Kedah, juga memberi seribu makna.

Bait-bait lagunya diikuti dan dinyanyikan sama-sama oleh lebih 100,000 peserta yang sudah pasti kebanyakan mereka penduduk negeri Kedah itu.
Kemuncak acara malam ini adalah perisytiharan Datuk Profesor Dr Nik Zain Nik Yusof, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi, menyertai PAS.

(Nik Zain memegang bendera PAS menjadi teknokrat terbaru yang menyertai PAS)

Nik Zain menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ia menjadi acara yang paling ditunggu oleh media kerana sejak beberapa hari lepas, media sudah diwar-warkan akan ada kejutan malam ini.

Dan kejutannya adalah penyertaan seorang lagi bekas pegawai kanan kerajaan menyertai PAS selepas penyertaan Datuk Fauzi Shaari sebelum ini.

Dengan penyertaan beliau, lengkaplah sudah organisasi PAS. Ada artis, ada karyawan, ada bekas polis dan tentera, ada bekas pegawai tadbir yang kanan dan sebagainya.

(Stadium yang penuh sesak...44,000 kerusi dan lebih 60,000 di atas padang menjadikan sasaran untuk 100,000 mencapai sasaran)

Pendekata, PAS menyertai pilihan raya umum ke 13 ini dengan penuh gaya dan dengan moral yang tinggi untuk mencapai kemenangan terbaik. Moral yang tinggi disuntik oleh Himpunan Hijau ini.

Moral yang tinggi inilah yang bakal menjadi bekalan kepada mereka untuk menerima segala serangan media BN yang sudah menjadi kepastian menjelang pilihan raya ini.

Benar sebagaimana kata pepatah China yang dikemukakan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw pagi tadi, "emas yang baik tidak takut disepuh dengan api yang panas."

Tuesday, May 22, 2012


Perutusan Hari Guru 2012

Assalamualaikum,
Sempena sambutan Hari Guru 2012, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan dan penghargaan kepada semua guru di atas segala pengorbanan dalam mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Guru merupakan golongan yang paling penting dalam pembangunan sesebuah negara. Bahkan Islam mengiktiraf peranan guru sebagai murabbi.
Quran menegaskan betapa tingkatan taraf kemanusiaan diangkat oleh Allah melalui dua unsur iaitu keimanan dan keilmuan. FirmanNya: "Sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan mereka yang diberi ilmu dengan beberapa darjat."
Keimanan dan keilmuan adalah dua elemen utama manusia diangkat darjat oleh Allah. Benarlah kata kata Saidina Ali bilamana ditanya manakah yang kamu inginkan antara harta dan ilmu.
Lalu jawab Saidina Ali: "Aku akan mengambil ilmu."
Bilamana ditanya kenapa ia memilih ilmu lalu jawab Saidina Ali:
"Sesungguhnya orang yang ada ilmu boleh mencari harta, tetapi mereka yang ada harta belum tentu mampu mencari ilmu. Ilmu telah disediakan tempat menyimpannya oleh Allah, sedangkan harta perlu mencari bekas untuk menyimpannya, biasanya orang yang mempunyai ilmu akan tawadduk, manakala manusia memiliki harta akan takabur."
Seorang guru inginkan muridnya berjaya lebih tinggi darinya, dan ia gembira bilamana muridnya berjaya, dan berdukacita bilamana muridnya gagal. Ia sanggup menghabiskan masa berjam-jam mendidik muridnya, lebih dari masa ia mendidik anaknya.
Rasulullah s.a.w menjelaskan bilamana mati anak Adam, maka putuslah amalannya melainkan tiga, iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa dari anak yang soleh.
Persoalan ilmu yang bermanfaat menunjukkan kepada kita bagaimana tingginya kedudukan guru yang mengajar ilmu pengetahuan di dunia dan akhirat. Lantaran itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua guru dengan doa agar mereka sentiasa tabah, sabar dan berusaha membina generasi rabbani yang sentiasa dekat dengan Allah swt.
“SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2012”
Sekian Wassalam

Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Pesuruhjaya PAS Pahang merangkap
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sunday, April 15, 2012


PAS tawar tanah, kebajikan

 Rakyat negeri ini akan ditawarkan sekurang-kurangnya lot tanah tapak rumah bagi mereka yang berkelayakan jika Pakatan Rakyat (PR) diberi peluang berkuasa pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembayar cukai terutama pemilik premis dalam kawasan bandar pula akan dipastikan mendapat pulangan balik dalam bentuk perkhidmatan dan kebajikan.

“Penduduk di bandar merupakan pembayar cukai tetapi tidak mendapat hak yang sewajarnya. Kita biasa dengar rungutan berkaitan saliran yang tidak diselenggarakan dengan baik atau sistem kutipan sampah yang tidak memuaskan.

“Jadi keutamaan PR yang berkonsepkan Negara Berkebajikan iaitu melakukan penstrukturan semula kawasan tempat duduk, saliran dan soal kebersihan. “Ini antara komitmen kita yang akan dimaktubkan dalam manifesto di mana pembayar cukai akan mendapat semula setiap sen yang dikeluarkan melalui perkhdimatan yang bersistematik dan kebajikan,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berucap demikian di hadapan kira-kira 200 orang semasa majlis Minum Petang Bersama Penduduk di Kampung Batu Satu dekat sini baru-baru ini. Majlis tersebut melibatkan program AJK Harian PAS Pahang yang turun ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan.

Turut hadir Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad.

Menurut Tuan Ibrahim, tidak ada keganjilannya jika PR mengagihkan tanah tapak rumah kepada penduduk negeri ini yang layak walaupun pernah dipertikaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Adnan Yaakob sedikit masa dulu.

“Kalau nak ikutkan semuanya tak boleh tapi tauke-tauke besar terus dapat tanah dengan mudah. Satu lagi sebagai bandingan, Selangor beli air dari Pahang tetapi kerajaannya boleh bagi penduduknya air percuma, kenapa Pahang tak boleh?,” soal Tuan Ibrahim.

Tambahnya, itu maknanya kebajikan dapat diberikan jika ada keazaman politik daripada pemerintah dan komitmen inilah yang ditawarkan PR kepada rakyat. Tuan Ibrahim memberi contoh, Petronas untung RM80 bilion setahun. Jika ada komitmen dengan andaian Petronas mengagihkan satu negeri sebanyak RM1 bilion untuk pembangunan, bayangkan rakyat tidak perlu lagi membayar cukai.

“Mudah cakap untung Petronas hanya luak RM14 bilion saja sedangkan pembangunan rakyat dan negeri akan terus berkembang. Tetapi kena ini tidak berlaku? Jawapnya tidak ada keazaman politik,” katanya

Mengenai propaganda umno di luar bandar yang mengatakan jika PAS menang DAP memerintah, Tuan Ibrahim berkata parti itu hanya bertanding 26 kerusi sahaja jadi mereka tidak boleh memerintah. Katanya, di Pahang DAP bertanding dua kerusi parlimen dan tujuh kerusi Dun sahaja jadi itu mumbuktikan propaganda tersebut hanya mainan isu perkauman untuk menang pilihan raya.

“Sekarang ini dimainkan sentimen DAP Cina, seolah-olah MCA yang telah 60 tahun bersekongkol dengan Umno bukan Cina. Walhal dalam DAP ada Cina, ada India dan ada Melayu dan mereka bermesyuarat dalam bahasa Melayu.

“Jadi maknanya sentimen kaum sengaja ditimbulkan supaya orang Melayu merasakan Umno penyelamat. Bayangkan, takkanlah PAS lawan Umno DAP yang menang?,” soalnya.

Serentak dengan itu beliau mengajak penduduk di sini mempertahankan Dun Kuala Semantan (yang dimenangi PAS pada PRU 2008) dan memenangi Parlimen Temerloh pada PRU akan datang.

Monday, March 12, 2012



Masih ramai dikalangan anggota masyarakat yang terbelenggu dengan kongkongan kejahilan terhadap Islam khususnya Fiqh Siyasah, apabila mereka merasa pelik melihat PAS boleh mengadakan persefahaman kerjasama politik bersama parti bukan Islam seperti DAP,  yang dituduh setengah pihak sebagai  fanatik atau chauvinis. Seterusnya mereka ini bertanya : Mengapa PAS tidak boleh mengadakan persefahaman dengan UMNO yang sebangsa dengan PAS ? . Tidakkah pendekatan mengadakan persefahaman dengan UMNO akan menjadi lebih mudah berbanding DAP atau PKR ?. Lalu penentang PAS yang tidak faham ini menyimpulkan bahawa PAS telah menggadaikan prinsip perjuangannya sebaik sahaja mengamalkan pendekatan Tahaluf Siyasi bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat !.

Persoalan di atas boleh difahami jawapannya dengan mempunyai fikiran yang tenang dan terbuka dalam menekuni tulisan ringkas ini.

 Syarat pertamanya ialah kita mestilah memahami kaedah ajaran Islam dalam menangani masyarakat majmuk bersama pendekatannya. Perlu difahami juga bahawa Islam pula bukannya agama yang terikat dan terbelenggu dengan semangat kebangsaan,  walau pun peranan bangsa tidak boleh dinafikan wujudnya. Dalam amalan politik Islam pula terdapat ajaran dan hukum yang berkait dengan pendekatan yang adil terhadap masyarakat majmuk termasuklah layanan Islam dalam aspek kepelbagaian agama. Risalah atau mesej Islam adalah bersifat sejagat, kerana kedatangan Nabi Muhammad SAW membawa rahmat kepada seluruh alam, manusia dan makhluk yang lain. Kerasulannya adalah kepada seluruh rumpun manusia, tidak terikat dengan bangsanya sendiri, tanahair dan zaman. Maka yang dikira termasuk dalam kerasulannya juga adalah dalam aspek politik menegakkan dan mentadbir sesebuah negara.

Islam tetap didahulukan, manakala fahaman kebangsaan pula hanyalah satu perasaan yang tidak boleh menjadi akidah. Peranan kebangsaan menjadi baik apabila Islam menjadi akidah dan petunjuknya. Hanya Islam menjadi petunjuk kepada bangsa, hanya bangsa yang berpegang dengan Islam sahaja boleh menunaikan amanahnya.

Adalah menjadi  hikmah terbesar, bahawa musuh pertama Islam di kalangan Nabi Muhammad SAW di Semananjung Tanah Arab ialah dari kalangan bangsa Arab Makkah dan yang awal menerima Islam dan memperjuangkannya pula adalah mereka juga. Rasulullah SAW memulakan kemerdekaan bangsanya dengan menentang kongkongan jahiliyah daripada bangsanya  sendiri, walaupun di masa itu ramai kabilah Arab dan wilayahnya dijajah oleh kuasa besar Rom dan Parsi.

Walaupun mesej Islam itu kepada seluruh manusia, tetapi konsep berdakwah menekankan bahawa kita sekali-kali tidak boleh memaksa pihak lain supaya menganut Islam. Dalam masa yang sama Islam menerima konsep masyarakat majmuk yang menjadi naluri manusia yang menjadikan mereka wajib bermasyarakat madani, walau pun berbeza bangsa dan agama. Di sinilah betapa hebatnya firman Allah SWT :

Maksudnya :

Wahai manusia, Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (hawwaa) dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Meliputi Ilmunya.



Manusia itu wajib bermasyarakat di peringkat setempat dan antara bangsa, kerana mereka tidak mampu menghasilkan keperluan hidupnya secara bersendirian atau individu, satu keluarga dan satu bangsa sahaja tanpa berhubung di antara satu sama lain. Sehelai kain untuk pakaian memerlukan penanam kapas, pelombong besi dan tukang besi untuk alat tanaman, penenun kain dan seterusnya. Begitulah juga keperluan makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

Ibnu Khaldun (1332M – 1406M) menyebut manusia itu bersifat  dengan sifat Madani, iaitu kemestian untuk berkumpul dan berhubung secara berpusat dengan adanya penempatan yang memerlukan pertukaran kemahiran dan hasil kerja yang berbeza. Tempat berhimpun itu dinamakan Bandar (Madinah)  dan pekerjaan mereka mestilah dimajukan secara ilmu, menerusi kajian dan pengalaman dengan menggunakan akal yang berkembang sehingga berlakunya kemajuan dan pencapaian yang dinamakan sebagai “Tamaddun”. Walau pun mereka berbeza agama dan bangsa, namun keperluan berhubung tetap wujud secara fitrah. Dalam masyarakat yang bersifat madani mereka perlu kepada cara hidup berkonsepkan politik dan berekonomi disemua peringkat, negeri dan antarabangsa.

Kedua, bagi merealisasikan aspek ini maka Rasulullah SAW melaksanakan konsep madani dengan mengadakan “tahaluf” atau kerjasama di kalangan yang boleh bekerjasama dari  aspek kemanusiaan  dengan kalangan manusia yang menyedari hakikat ini, dan negara pertama itu dinamakan Madinah. Rasulullah SAW melaksanakan tugas serampang dua mata yang ditunjuk oleh Allah menjadi tujuan kerasulannya untuk seluruh manusia dengan menyatukan umat manusia yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Pertama - dinamakan ‘umat Ijabah’, mereka ialah penganut Islam yang menyahut seruan menganut agama. Kedua - umat dakwah, mereka termasuk kalangan bukan Islam berbagai bangsa dan agama, namun diajak bersama melihat sifat kemanusiaan sejagat yang ada dalam Islam secara amali (praktikal) bagi menghasilkan keperluan hidup secara nalurinya.

Pelaksanaan secara amali terhadap manusia majmuk itu ditemukan dengan menegakkan keadilan mutlak yang diwajibkan oleh Allah mengikut firman Allah SWT :

Maksudnya :

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu melaksana dan mentadbir dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.



Diriwayatkan dalam  Hadith Qudsi bahawa Allah SWT berfirman :

يا عبادي إني حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرماً فلا تظالموا

(رواية مسلم ).

Maksudnya : (Wahai hamba-hamba ku , sesungguhnya aku telah mengharamkan zalim itu berlaku ke atasku dan aku jadikan ia diharamkan di kalangan kamu, maka jangan sekali-kali kamu berlaku zalim).



Dalam pendekatan yang kedua Rasulullah SAW berhubung dengan kalangan bukan Islam yang ada sifat kemanusiaan, dalam keadaan orang Islam pula kosisten dan iltizam berpegang kepada prinsip dan konsep Islam. Pelaksanaanya dilakukan ketika tanpa negara dan bernegara. Ketika di Makkah, Rasulullah SAW menerima perlindungan bapa saudaranya Abu Tholib yang tidak menganut Islam, dengan konsep yang dinamakan “Himayah” (perlindungan ). Ianya juga dilakukan dengan Mut’im bin Adi iaitu seorang bukan Islam, ketika Rasulullah SAW masuk ke Makkah daripada Thaif.  Ciri persamaan adalah kebencian terhadap kezaliman. Rasulullah SAW juga menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqit, juga seorang bukan Islam bagi memandu unta ketika berhijrah dengan penuh kerahsiaan  dan memerintah menantunya Saidina Ali KWJH supaya memulangkan simpanan amanah kalangan penduduk Makkah daripada kalangan bukan Islam yang mempercayainya.

Ketika di Madinah pula Rasulullah SAW mengadakan Tahaluf (persefahaman politik) dengan pihak kalangan bukan Islam dan melakukan muamalah berhutang dan bergadai dengan mereka, seterusnya menerima beberapa kabilah musyrikin bernaung di bawahnya dalam perjanjian Hudaibiyyah. Dalam kedua-kedua keadaan tersebut Rasulullah SAW teguh dengan dasar dan menunjukkan akhlak mulia Islam terhadap bukan Islam yang ada persamaan dari segi kemanusiaan. Dasar dan konsep ini dilaksanakan oleh sepanjang generasi di zaman keemasan dan kejayaan, ditinggalkan di zaman kelemahan dan kejatuhan sehinggalah Negara umat Islam dijajah.

Pendekatan  PAS yang berdasarkan Islam, dalam hubungan dengan bukan Islam sangat berbeza dengan UMNO yang berfahaman kebangsaan mengatasi Islam secara sekularisme. Di bawah pemerintahan BN, Islam tidak berkuasa mentadbir tetapi berada di bawah tadbir, dalam keadaan menerima hakikat yang sama wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia yang tidak ditangani secara Islam yang sebenarnya.

Lihat sahajalah contoh kejadian terkini yang berlaku terhadap Encik Frusis Lebi, seorang OKU yang juga merupakan seorang pekebun dan petani dari Kampung Entulang Entawa dari Bahagian Sri Aman  yang dinafikan bantuan Kerajaan di atas alasan menyokong pembangkang di Sarawak (rujuk Surat Menteri Muda Pertanian Sarawak, KPP/MM/31 bertarikh 8 Disember 2011 yang disiarkan melalui portal berita Malaysiakini). Inilah antara siri ketidakadilan layanan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat, sedangkan mereka juga adalah rakyat yang turut sama menyumbang kepada pendapatan Negara. Inikah rupa bentuk kerajaan bertanggungjawab yang mahu ditegakkan ?

PAS berpegang dengan konsep yang ditunjuk oleh al Quran, bahawa bumi adalah kepunyaan Allah, bukan kepunyaan mana-mana bangsa.   Seluruh manusia adalah pemegang amanah di mana bumi mereka berpijak, adalah wajib  melaksanakan keadilan Ilahi tanpa mengira bangsa. Apatah lagi, bagi umat Islam tuntukan melaksanakan keadilan adalah tersangat penting untuk dilaksankan kepada semua.

Maka PAS berbeza pendekatan dengan UMNO bagi mengolah politik masyarakat majmuk yang diwujudkan oleh penjajah. Kita mestilah memahami bahawa penjajah telah melonggokkan berbagai kaum untuk diperhamba bagi kepentingan mereka dan di adu domba untuk menjadi lemah supaya terus bernaung di bawah mereka selama-lamanya.

Pendekatan PAS ialah pemimpin Islam teguh berpegang dengan prinsip dan akhlak contoh dan menegakkan keadilan untuk semua tanpa memaksa dalam perkara yang berbeza, serta memanfaatkan kebolehan berbagai kaum secara bersama dan saksama bagi membina negara. Bangsa Melayu ada keistimewaannya dari segi kebolehan, begitu juga bangsa Cina, India dan lain-lain. Kalau diselaras secara saksama nescaya dapat dimanafaatkan untuk membina negara dengan baik.

PAS tidak berganjak dalam perkara halal dan haram, serta perkara wajib, dalam semua urusan peribadi dan cara hidup tanpa memaksa penganut agama lain. PAS mewajibkan sifat Islam itu bermula dengan peribadi pemimpin. Dalam hal ini sesiapa sahaja ahli PAS yang mengerjakan perkara haram dipecat daripada parti. PAS pernah memecat ahli Parlimen yang menari dan sebagainya. Ada pun pihak lain terpulang kepada anutan yang tidak boleh diganggu gugat dengan kawalan yang tidak merosakkan hubungan masyarakat majmuk . Apabila memerintah kerajaan negeri dan PAS memimpinnya, maka pendekatan Islam mengikut bidang kuasa negeri dilaksanakan dengan batas hukum Syarak. Penganut agama lain wajib diberi hak yang adil tanpa fanatik perkauman.

UMNO pula tidak konsisten dan iltizam apabila menunjukkan Islam secara terpilih dan tidak ada peraturan boleh memecat ahli UMNO yang mengerjakan maksiat, kerana sifat kebangsaannya sahaja mengatasi sifat Islamnya. Pelaksanaan Islamnya juga tidak istiqamah, contohnya dalam  kawalan terhadap arak dan judi pula secara berlesen yang tidak ada sempadan kukuh bagi penganut Islam, bukannya  kawalan secara hukum Islam yang sebenar sehingga penganut Islam dalam UMNO tidak mampu menjadi model Islam dan UMNO gagal mendidik melayu Islam menjadi contoh yang baik. PAS pernah bersama kerajaan campuran dengan UMNO diawal tahun tujuh puluhan dan bersama menubuh BN dipertenghannya, dengan syarat PAS tetap dengan dasarnya, kemudiannya berlaku pertembungan kefahaman.

Presiden MCA secara terbuka dalam debatnya menyatakan kejayaannya menundukkan UMNO dalam isu pelaksanaan hukum hudud, sebaliknya Sdr. Lim Guan Eng menegaskan itu adalah hak PAS yang berbeza dengan DAP.

UMNO tidak konsisten dalam mempertahankan kawasan melayu dan Islam apabila sanggup menyerahkan kawasan majoriti melayu Islam kepada MCA, Gerakan dan MIC bagi menyelamatkan rakannya  yang kalah di kawasan majoriti bukan Islam.

PAS telah berjaya mengubah sentimen perkauman apabila berjaya memenangi hati penganut bukan Islam ketika menentang calon bukan Islam daripada BN. Contohnya YB Dr Mariah Mahmud mengalahkan calon MIC dengan mendapat sokongan dan kegembiraan kaum India bukan Islam dan kesedihan penyokong UMNO melayu yang dikatakan kuat semangat kebangsaannya tetapi bermatian mempertahankan MIC. Begitulah juga juga kemenangan Datuk Kamarul Bahrain di Teluk Kemang. DAP pula tetap bertahan di kawasan majoriti kaum bukan Islam tanpa berpindah.

PAS juga berjaya menunjukkan kerajaan bersih secara bersendirian dan bersama Pakatan Rakyat walau pun berdepan dengan layanan tidak menghormati sistem federalisme dan akhlak amalan Demokrasi.

Dua pendekatan yang berbeza cara dalam menangani masyarakat majmuk telah diberi selama lebih 50 tahun kepada UMNO memimpin negara dengan gagasan Barisan Nasional yang banyak kelemahan dan penyelewengan, serta mencetuskan masalah rakyat berbagai kaum yang masih belum selesai dalam tempoh yang bagitu panjang, dan penganut Islam menjadi larut pegangan agamanya.

Sudah tiba masanya khususnya melayu Islam memberi kepercayaan kepada PAS menggantikan UMNO dengan konsep Islam menyelesaikan masalah masyarakat majmuk, menerusi gagasan Pakatan Rakyat.


Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS





--
Mohd Shahir Abu Hassan
Pegawai Tadbir
Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat
0192153225
www.pas.org.my
www.facebook.com/paspusat