Wednesday, December 15, 2010

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia(PAS), saya ingin mengucapkan selamat melalui Maal Hijrah 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi. Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam. Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia, iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik, iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.


Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah SAW telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini. Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas. Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan maal hijrah ini tidak disuruh oleh Nabi SAW, tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.



Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

1 Muharam 1432 H bersamaan 7 Disember 2010
Isu pembahagian harta pusaka biasanya hanya didebatkan apabila seseorang sakit teruk atau sudah meninggal dunia. Sekalipun tidak salah, namun jarang sekali isu pembahagian harta pusaka timbul dalam keadaan seseorang dalam keadaan sihat sejahtera. Demikianlah juga apabila isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui negara dibangkitkan oleh media massa milik UMNO. Bagi saya, ia tidak lebih melainkan hanyalah merupakan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional sudah sakit teruk dan tidak mempunyai harapan untuk pulih lagi. Alhamdulillah, media massa milik UMNO sendiri pun nampaknya mulai sedar saat-saat akhir hayat mereka di pentas politik Malaysia. Insya-allah, saya optimis akan tiba juga ketikanya Barisan Nasional akan digantikan oleh Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya.

Berhubung isu perlantikan YB Lim Kit Siang selaku Timbalan Perdana Menteri yang kononnya dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini. Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik UMNO? ‘Islam plastik’ yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai ‘Islam Palestin”. Salah dengar dan salah lapor ialah satu budaya biasa dalam amalan media milik UMNO.

Hari ini, isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik UMNO dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin UMNO segenap lapisan untuk memberikan ulasan. Seolah-olah UMNOlah satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul UMNO dan seolah-olah rebah UMNO bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebarluaskan ke dalam minda masyarakat pada hari ini.

Ingin saya nyatakan, pendirian saya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam. Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWt melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai.

Lupakah kita bahawa UMNO pernah menyerahkan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun UMNO yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi UMNO? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini? Peliknya apabila Tun Dr Mahathir sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?

Apa yang penting ialah dasar, jika dasar Islam. Sesiapapun boleh menjadi pemimpin. Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh. YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang muslim yang soleh. Seorang muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 1 Disember 2010 / 24 Zulhijjah 1431
Sejak akhir-akhir ini ramai di kalangan pemimpin Bukan Islam berminat untuk merujuk Al Quran dan menggunakan terjemahan Al Quran dalam ucapan mereka.

Namun begitu pemimpin Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam mula berjinak-jinak dengan Al Quran. Bermacam alasan mereka berikan; takut salah tafsir, menghina Al-Quran, mencemarkan kesucian Al Quran dan sebagainya.

Sepatutnya pemimpin bukan Islam ini diberikan galakan supaya mereka tambah minat untuk membaca dan merujuk kepada Al Quran dalam apa juga permasalahan manusia. Jika mereka melakukan kesalahan mereka bukannya dihalang dari merujuk kepada Al Quran tetapi kesalahan itu diperbetulkan. Malangnya pemimpin Umno bukannya menggalakkan mereka mendekati Al Quran malah terus melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah kepada pemimpin yang membaca terjemahan Al Quran ini.

Perangai buruk pemimpin Umno inilah sebenarnya yang menyebabkan orang bukan Islam terus menjauhi Islam dan memusuhi Islam kerana mereka dihalang dari mendekati Islam. Lihat sahaja contoh MCA dan MIC walaupun sudah berkawan dengan Umno lebih dari 50 tahun tetapi sehingga kini mereka tidak berminat kepada Islam. Ini kerana Umno sendiri pun meminggirkan Islam.

Saya pun tidak faham mengapa Umno begitu takut apabila pemimpin Bukan Islam menggunakan terjemahan Al Quran dalam ucapan mereka. Mungkin Umno terasa tercabar kerana orang Bukan Islam merujuk Al Quran tetapi Umno meminggirkan Al Quran. Atau Umno takut orang Bukan Islam faham Islam dan seterusnya menyokong PAS dan PR.
Sebagai seorang Islam kita sepatutnya gembira dan bersyukur apabila orang Bukan Islam mula berjinak-jinak dengan Islam dan menjadikan Al Quran sebagai salah satu rujukan mereka. Apa yang penting kita membetulkan mereka jika berlaku kesilapan dan kesalahan.

Ulama' mesti memberi penerangan kepada seluruh rakyat tentang pengunaan ayat-ayat Al Quran oleh orang bukan Islam supaya semua orang Islam tahu bahawa bukanlah menjadi kesalahan untuk orang bukan Islam membaca dan merujuk terjemahan Al Quran dalam ucapan dan kehidupan seharian mereka.

Di harapkan selepas ini semua pemimpin dan penganut Islam terus memberikan sokongan padu kepada orang Bukan Islam merujuk kepada Al Quran dalam apa juga permasalahan manusia.

Isu ini tercetus semula apabila ADUN Hutan Melintang, Perak, S.Kesavan dilaporkan membacakan terjemahan Al Quran merujuk kepada ayat yang lain dari apa yang sepatutnya.

Bagi saya adalah bukan suatu perkara yang pelik jika Umno tidak suka pemimpin Bukan Islam menggunakan ayat Al Quran. Ini kerana Umno sendiri selalu meminggirkan Al Quran dalam tindakan seharian mereka. Dalam isu menghalalkan judi dan riba, judi bola, mendedahkan aurat, meminggirkan hukum hakam Islam dan sebagainya jelas Umno membelakangkan Al Quran.

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka
019-682 1318