Sunday, April 18, 2010

PAS beri Amaran-Jangan benarkan Tony Blair jejak kaki di Malaysia


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberikan amaran kepada Kerajaan BN agar tidak membenarkan penjenayah perang-Tony Blair menjejakkan kaki ke Malaysia jika tidak mahu berhadapan dengan bantahan terbuka rakyat.
Tony Blair yang juga mantan Perdana Menteri Britain adalah orang yang bertanggungjawab bersama Presiden Amerika, George W. Bush membawa bencana perang ke atas bumi umat Islam di Aghanistan (2001) dan Iraq (2003).
Sehingga ke hari ini beliau gagal membuktikan tuduhan beliau dan rakan sekutunya itu bahawa bangunan World Trade Centre diserang oleh pengganas Islam dan tuduhan bahawa Iraq mempunyai Senjata Nuklear-Pemusnah Besar-besaran (WMD) juga masih belum dapat dibuktikan. Walaupun masih tiada bukti, tetapi dengan sewenang-wenangnya mereka mencetuskan perang hingga meragut jutaan nyawa dikedua-dua negara itu. Hingga ke hari ini negara Afghanistan dan Iraq tidak pernah tenang, dan rakyatnya jadi pelarian dinegara sendiri.

Selain itu Blair juga mempunyai hubungan rapat dengan Pengarah Urusan APCO Worldwide, Darren Murphy yang pernah menjadi penasihatnya. Blair yang disokong kuat oleh APCO merupakan ahli aktif dalam pertubuhan pelobi Pro-Israel, iaitu Labour Friends of Israel dan menyokong kuat kerja-kerja zionis Israel yang menindas umat Islam Palestine atas dasar perluasan wilayah.

Tangan Blair masih berlumuran darah dan air mata rakyat tertindas masih belum kering. Inilah dosa Blair yang tidak boleh dimaafkan. Malaysia sebagai negara yang cintakan kedamaian dan menolak peperangan wajib menghalang Blair dari memasuki negara ini pada 24 April ini bagi memberikan ceramah dalam kongres perniagaan di Kuala Lumpur anjuran Success Resources Company.
PAS menuntut agar jemputan itu dibatalkan dan kita tidak memerlukan khidmat nasihat dari seorang pembohong dan pembunuh yang kini turut di tolak oleh Partinya sendiri (Parti Buruh) dan rakyat Brittain.
Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, April 15, 2010

PYBK gadai tanah rakyat 102 juta, SPRM buat apa?

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan ke atas Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan anak syarikatnya Permodalan YBK Sdn Bhd (PYBK) yang dilaporkan telah mengadaikan tanah rakyat di Hulu Selangor bernilai RM 102 juta.

Pendedahan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melalui Kertas Putih Kerajaan Negeri harus diambil tindakan segera. Perkara ini jelas melibatkan kepentingan rakyat dan menyebabkan kerugian yang besar kepada pendapatan Negeri.

Rakyat menuntut penjelasan dimanakah duit RM 102 juta itu sekarang? dan apa kuasa pihak PYBK menjual tanah itu kepada orang ketiga? Siapakah orang ketiga itu? dan bagaimana dia boleh membeli tanah tersebut?

PAS berharap SPRM bertindak pantas, dan mahu semua aduan atau pendedahan yang berlaku di Hulu selangor akhir-akhir ini disiasat.

PAS juga kesal kerana hingga ke hari ini SPRM menutup mata terhadap pengakuan Ketua Kampung Sungai Buaya di Hulu Selangor, Mustafa Talib bahawa Datuk G Palanivel telah meluluskan tiga projek bernilai RM 354 ribu di kampung itu, walhal mereka sedar bahawa beliau bukanlah anggota kabinet atau penjawat awam yang mempunyai kuasa bagi menentukan perbelanjaan wang negara.

SPRM buat apa? kenapa masih enggan bertindak?

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Mahu Jentera Pakatan Fokus Gempur Hulu Selangor

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya kalangan anggota dan penyokong PAS untuk memberikan fokus sepenuhnya bagi mengempur Parlimen Hulu Selangor.

Pas mahu setiap anggota parti, sama ada ahli biasa, pimpinan, para penyumbang dana, blogger, penceramah bebas dan sebagainya memberikan bantuan sepenuhnya kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat-Datuk Zaid Ibrahim.

Pilihanraya kecil Hulu Selangor adalah peluang terbaik untuk menegur kelemahan pentadbiran Kerajaan serta membongkar kezaliman BN.

PAS berharap agar jentera Pakatan turun ke setiap rumah-rumah pengundi untuk menyampaikan maklumat sebenar terhadap situasi negara kini, disamping mendengar sendiri luahan hati rakyat yang dizalimi BN selama ini.

Peluang pilihanraya kali ini juga harus dimanfaatkan oleh jentera PAS untuk menyampaikan dakwah Islam serta memberikan kesedaran kepada rakyat untuk lebih mendekati Islam yang sebenarnya.

PAS menyeru agar seluruh jentera yang turun di Hulu Selangor agar dapat menunjukan komitmen dan akhlak yang baik, disamping mengelakkan provokasi yang boleh memburukan imej Pakatan.

PAS yakin Hulu Selangor akan kekal ditangan Pakatan dan para pengundi wajib mengambil peluang ini untuk keluar mengundi calon Pakatan-Datuk Zaid Ibrahim.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, April 1, 2010

TUGU : Akhirnya Umno Henti Amalan Syirik dan akur teguran PAS, Majlis Fatwa

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan syukur kepada Alllah swt kerana akhirnya Umno-BN mengumumkan akan berhenti melakukan upacara meletakan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang jelas perbuatan syirik dan khurafat.
Pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam membuktikan dakwaan PAS selama ini bahawa perbuatan itu adalah dosa besar Umno kepada Allah swt adalah benar. Beliau yang juga Naib Presiden Umno, mengumumkan semalam bahawa Upacara memperingati Hari Pahlawan tidak akan dilakukan di Tugu Negara lagi mulai tahun ini dan akan dipindahkan di Putrajaya dalam bentuk majlis yang berbeza.

PAS tegas menolak amalan meletakan bunga dan bertafakur di Tugu Negara setiap 1 Julai sempena Hari Pahlawan, dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 – 7 Oktober, 1987 juga telah mengeluarkan fatwa berhubung isu ini. Ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.

Rakyat, khususnya kaum Melayu selalu bertanya. Apa beza PAS dan Umno? dua-dua parti yang dipimpin Melayu dan Islam, kenapa tidak boleh bersatu?

PAS berharap, isu Tugu Negara ini membuka mata rakyat bahawa PAS dan Umno memang jelas berbeza. Walaupun Umno mengaku Islam tetapi mereka jelas menolak syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah swt.

Isu ini juga jelas membuktikan bahawa Islam dan Politik tidak dapat dipisahkan. PAS yakin, Umno akhirnya mengambil keputusan ini setelah tertekan bila mana PAS serius membawa isu ini hinggalah ke pentas Politik. 

Walaupun Umno mempunyai Biro Agama dan Menteri Agama, tetapi mereka mengambil masa 23 tahun untuk memahami Fatwa Majlis Kebangsaan. Hakikatnya perkara ini tidak perlu dibawa ke Majlis Fatwa jika Umno benar-benar memahami Islam dan berjuang atas nama Islam. Walaupun Umno bangga mengatakan mereka berjaya membawa syiar Islam dengan wujudnya Tabung Haji, Pusat Zakat, Masjid-masjid besar dan sebagainya, tetapi 23 tahun mereka menafikan Fatwa syirik yang dikeluarkan Majlis Fatwa.

Allah sendiri memperingatkan dalam Al-Quran, bahawa semua dosa besar akan diampunkan kecuali Syirik. Dan jelaslah bahawa saranan Majlis Fatwa ini serius dan Umno-BN telah menyesatkan rakyat dengan melakukan upacara syirik ini sejak tahun 1963 iaitu tarikh ia dibina dengan kos RM 1.3 juta ketika itu.

PAS menghormati pengorbanan dan jasa pahlawan negara. Oleh itu PAS mahu majlis kesyukuran dan tahlil serta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga pahlawan yang telah gugur menjadi program rasmi sempena Hari Pahlawan. Bukannya bertafakur dan membazir duit untuk meletakan bunga ditugu yang tidak bernyawa itu.

PAS juga berharap agar Umno menghapuskan semua amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan termasuk amalan menepung tawar dan menabur beras kuning seperti yang dilakukan oleh Datuk Ismail Sabri dalam Majlis pelancaran Van Umno Bahagian Wangsa Maju minggu lepas.

PAS yakin rakyat semakin cerdik dan melihat siapa sebenarnya yang memperjuangkan Islam dan siapa sebenarnya yang mengkhianati Islam. 

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat 

PAS Selar Muhyiddin Halang PIBG Bersuara

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar keangkuhan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghalang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membincangkan soal dasar atau polisi sistem pendidikan negara.

Di Parlimen semalam, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, memperingatkan bahawa tugas PIBG hanyalah berkaitan soal bagaimana untuk menambah baik pelajaran di sekolah yang mereka menjadi ahli sahaja.

PAS kesal dengan dasar dan pemikiran kecil beliau yang juga Timbalan Presiden Umno. PAS berpandangan bahawa PIBG juga adalah medium terbaik untuk para ibubapa dan guru menyampaikan pandangan mereka khususnya yang melibatkan soal-soal pendidikan. Malah mereka berhak untuk membincangkan atau memberikan pandangan terhadap dasar dan polisi pendidikan negara kerana itu semua akan memberikan kesan kepada anak-anak mereka.

Sepatutnya, pihak Kementerian Pelajaran menjadikan mereka rujukan utama sebelum sesuatu dasar itu diperkenalkan kerana mereka berhak dan lebih memahami keperluan pelajar dan anak-anak mereka.

Mesyuarat dan Konvesyen PIBG akan menjadi lebih matang dan dilihat berwibawa jika mereka mampu membincangkan soal-soal dasar dan polisi negara disamping tidak mengabaikan isu-isu dalaman sekolah mereka.

Jika mereka tidak diberikan ruang untuk bersuara, dimanakah mereka ingin membawa pandangan mereka. Tidak semua ahli PIBG terlibat dengan NGO atau parti Politik. Jadi, apa salahnya mereka mengunakan medium yang ada untuk menyampaikan pandangan.

Pandangan Muhyiddin ini jelas menunjukan Kerajaan BN tidak terbuka menerima teguran rakyat dan masih mengamalkan dasar pekak telinga. Mereka hanya melayan aduan atau pandangan yang selari dengan kehendak mereka, sedangkan pandangan yang tidak mengikut kehendak mereka diketepikan dan dianggap sebagai pandangan politik. Walhal isu yang disentuh jelas melibatkan isu pendidikan, bukannya politik. Kalau orang politik sekalipun, bila berbicara isu pendidikan, ia tetap isu pendidikan bukan isu politik dan tidak perlu dipolitikan. Ternyata beliaulah yang cuba mempolitikan isu ini, bukan PIBG.

PAS mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana membuktikan kebebalan dan keangkuhan Kerajaan BN pada rakyat. 

PAS menawarkan kepada semua PIBG dinegara ini untuk menyampaikan pandangan mereka melalui wakil-wakil rakyat Pakatan jika BN sendiri sudah tidak mahu menerima pandangan mereka. PAS akan memastikan wakil-wakil rakyat Pakatan akan membawa isu mereka ke Parlimen dan sidang-sidang DUN. Pakatan tidak sesekali membiarkan rakyat terus menerus dinafikan hak dalam memberikan pandangan, dan perjuangan kita adalah suara rakyat.

PAS yakin rakyat akan memilih Kerajaan yang lebih baik dan lebih terbuka dalam pilihanraya akan datang dan Pakatan bersedia memberikan yang terbaik buat rakyat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat.

RM52 BILION SAHAM BUMIPUTERA HILANG : UMNO/BN PENGKHIANAT?

Parti Islam Semalaysia (PAS) kesal di atas pengkhianatan kerajaan Umno/BN yang dengan kehilangan RM52 bilion saham bumiputera. Siasatan menyeluruh mesti dibuat ke mana lesapnya nilai saham yang begitu banyak yang diperuntukan kepada Bumiputera. Siapakah dalang yang mengkhianat hak Bumiputera perlu disisasat. Menteri yang bertanggungjawab mesti disiasat dan meletak jawatan.
PAS yakin dengan peruntukan wang sebanyak itu, pemilikan ekuiti bumiputera akan mencapai melebih daripada 30%. Tetapi akibat pengkhianatan amanah dan kejahilan pemimpin Umno/BN  maka ekuiti bumiputera hanya mendapat 19.4% sahaja.
Mereka juga menjadikan modal supaya rakyat yang  miskin akan menjadi abdi moden dan takut untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Kerajaan Umno/BN memahami bahawa rakyat yang ,miskin adalah stok penimbal setiap kali pilihanraya. Memang kajian menunjukan rakyat yang miskin dan kurang pengetahuan begitu kuat bergantung dengan kerajaan melalui projek mee segera yang diberikan setiap kali pilihanraya
  Pas menyedari bahawa kemiskinan yang dirancang supaya ia menjadikan modal dan halwa manisan untuk orang-orang Melayu/Bumiputera akan terus menyokong Umno/BN dalam setiap kali pilihanraya. Kerajaan Umno/BN memahami bahawa rakyat miskin adalah stok penimbal setiap kali pilihanraya. Memang kajian, menunjukkan rakyat yang miskin dan kurang pengetahuan begitu kuat bergantung dengan kerajaan terutama janji yang ditaburkan setiap kali pilihanraya.
Umno/BN akan mencanang bahawa Melayu mundur kerana ia adalah akibat ancaman daripada  orang bukan Melayu. Mereka mendakwa kalau orang Melayu mahu selamat maka teruslah bersama dengan Umno/BN kerana Umno sahaja  parti yang menjaga ketuanan Melayu di negara ini. Sebenarnya atas nama ketuanan Melayu menjadi tiket kepada mereka untuk menggadai hak orang Melayu di negara ini.
  PAS berpendapat buatlah apa dasar sekalipun jika tidak membuang sifat pembaziran, rasuah dan ketirisan dan salah urus, maka dasar Model Ekonomi Baru (MEB) juga akan mengulangi kegagalan DEB sebelumnya, kerana pelakon yang sama  membawa watak yang sama.
Ust Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

BUANG BAYI : APA YANG PAS TELAH USAHAKAN

Nampaknya semuia media arus perdana memfokuskan isu  pembuangan bayi di negara ini. Seperti biasa pemimpin negara mengecam perbuatan tersebut dengan ucapan yang menggambarkan kekesalan terhadap gejala tersebut, ada yang sebak menangis  mengenangkan peristiwa tersebut.  Saya mendapat respon banyak dalam Facebook saya, apa pula yang PAS buat untuk mengatasi masalah ini. Apakah PAS hanya pandai menyalahkan pihak kerajaan  sahaja dalam isu ini. Inilah nasib malang PAS kerana apa yang PAS buat tidak diketahui oleh masyarakat. Media perdana tidak menyebelahi PAS, sehingga masyarakat tidak mengetahui apa yang PAS buat. Mereka menganggap bahawa PAS hanya sebuah parti politik untuk mendapat kuasa sahaja. Seolah-olah PAS tidak memperdulikan persoalan, moral dan akhlak remaja.
Saya ingin tegaskan sebagai sebuah parti Islam dasarnya ialah Islam dalam perkara 3 “Dasar Pas ialah Islam”. Maka jelaslah bahawa Islam yang hendak ditegakkan berbeza dengan apa yang hendak dipejuangkan oleh Umno/BN di negara ini. PAS bukan sahaja sebagai parti politik tetapi ia adalah Gerakan pelitik dan gerakan Dakwah. Walaupun aktiviti Pas nampak lebih menonjol dalam politik, sebenarnya PAS juga sebagai gerakan dakwah. Justeru itu walaupun tarikh pilihanraya masih jauh, sebagai  gerakan dakwah terus berjalan sebaik sahaja pintu pagar tempat mengundi ditutup. Dalam erti kata yang lain PAS akan bergerak sebagai sebuah parti Islam bagi menyebarkan risalah Allah di  muka bumi ini.
PAS menggunakan pendekatan dalam membendung gejala buang bayi ini dengan kaedah mencegah dan menguatkuasakan undang-undang. Ada tohmahan PAS hanya hendak pakai undang-undang tanpa mendidik. Maka di bawah ini adalah jawapannya.
Antara program yang dilakukan untuk membendung gejala  yang tidak bermoral supaya tidak berlaku pembuangan bayi ialah;
-Kuliah-kuliah yang  mengisi kefahaman  Islam dan penghayatan melalui ustaz dan tenaga pengajar PAS di masjid dan di surau. Pendidikan supaya mereka berakhlak dengan akhlak Islam. Kerana penghayatan agama adalah benteng yang paling kukuh dalam memerangi gejala ini.
-Pemuda Pas melalui program “Duta Penyelamat” yang turun berjumpa secara langsung dengan golongan muda mudi. Berjumpa dengan mereka yang duduk berduan yang boleh menjurus kepada perzinaan dengan penuh kasih sayang,  menasihati mereka supaya mereka tidak melakukan perbuatan yang menghampiri zina.
-Pemuda dan Nisa’ turun ke padang  bertemu dengan remaja yang datang ke tempat bandar besar pada hari keramaian seperti awal tahun baru dan sambutan kemerdekaan. Remaja dibekalkan dengan risalah kesedaran untuk mereka menjadi manusia yang jauh daripada perbuatan zina. Kerana malam itu ialah malam pesta anak muda yang menggerunkan kita sebagai orang yang beriman dan bimbnag tentang masa depan mereka.
-Di Kedah ada satu NGO yang dikendalikan oleh ahli PAS membuat kerja lapangan yang begitu menakjubkan iaitu LANDAS yang berpusat di Sungai Petani. Kumpulan ini telah bertindak membimbing mereka yang terjebak dengan kehancuran hidup seperti dadah, arak, pelacur. Mereka turun dengan bersemuka dan cuba membimbing mereka untuk kembali ke pangkal jalan.
-Di Selangor, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamanahkan kepada Exco Pas Dr Halimah untuk mengendalikan Program Pembangunan Modal  Insan dengan kewujudan SPIES (Spirtual, Physical,Intellectual, Emotional, Social). Semua acuan yang dibuat melalui program belia remaja adalah menjuruskan kepada pembinaan jati diri remaja di negara ini.
-Di Kelantan adanya Unit Belia, untuk mengendalikan program belia seperti bina insan, sukan rekreasi, kursus motivasi
 -Program hidup sihat diperkanalkan supaya hidup remaja terisi dengan memperkenalkan program sukan melaui Lajnah Sukan Dan Rekreasi Pemuda. Ini bertujuan untuk membuktikan bahawa dalam Islam juga ada sukan dan PAS bukan anti sukan.
-Kempen jauhi arak telah dibuat, kerana arak adalah ibhu segala maksiat yang  boleh menjuruskan kepada perzinaan.
-Untuk mengelak supaya faktor rangsangan seks dapat diatasi, maka pihak Dewan Pemuda PAS pernah berjumpa dengan Kementerian Dalam Negeri dengan membawa contoh majalah lucah yang bercambah di pasaran untuk dijadikan bukti supaya pihak KDN bertindak, malangnya dijawab kalau rakyat kita kuat iman maka tidak menjadi masalah. Pas bimbang majalah seperti ini yang merangsang nafsu seks kepada pembaca. Kalau yang boleh pihak kerajaan kawal pun mereka tidak buat apa-apa, apa tah lagi hendak diharap untuk kawal alam siber.
- Kempen supaya mengalakkan budaya hedonism di lancarkan supaya rakyat terutama remaja dapat mengelak untuk mendekati dengan budaya yang tidak sihat.
-PAS telah melatih anak-anak kecil lagi melalui pendidikan pra sekolah, sejak umur 4 tahun melalui Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Anak-anak kecil diajar supaya memakai pakaian menutup aurat, cintakan akhlak Nabi, doa dan hafalan ayat-ayat lazim. PAS menganggap mereka ialah generasi yang akan mewarnai zaman akan datang.
-Kelantan memperkenalkan kaunter berasingan di pasaraya. Semua ini sebagai langkah menutup pintu perzianaan.
-Kelantan mengadakan setiap tahun sepanjang bulan  Rejab kempen bulan solat. Kerana solat adalah kunci untuk tidak mekakukan kemungkaran. Walaupun usaha ini dipandang remeh tetapi mempunyai impak yang besar.
-Beberapa program smart Muslim dan Smart Solat diadakan untuk melahir generasi yang bertaqwa kepada Allah dan mempunyai jati diri yang kental.
-Setiap kali cuti persekolahan panjang,  PAS telah mengadakan Kem Pembinaan Iman selama 2 hari semalam. Program yang terbuka kepada semua remaja yang berumur 12 tahun sampai 20 tahun.Pengisian ceramah, bengkel, motivasi pelajar cemeralang, qiamullai, tilawah al-Quran.
-Program Unit Amal dan Nisa’ sebagai  satu program alternatif kepada remaja untuk program luaran yang bersifat rekreasi dan bersantai. Sudah tentu ia satu kelainan dengan Rakan Muda dan PLKN.
-Setiap PAS negeri ada program yang tersendiri untuk memastikan remaja belia terbimbing. Contohnya di Kedah ada Kem Bina Shakhsiah. Program yang boleh dijadikan satu alternatif yang menjuruskan kepada pembinaan iman dan taqwa serta kekuatan fizikal.
-Usrah remaja diwujudkan disetiap cawangan PAS, untuk memberi kefahaman Islam kepada  remaja. Pengisian ibadat, akhlak dan adab pergaulan ditekan kepada mereka.
Mungkin orang mempertikaikan kenapa gejala tidak bermoral juga berlaku di Kelantan dan negeri yang PAS kuasai. Jawapannya kerana kuasa negeri amat terbatas, banyak peraturan dikuasai oleh kerajaan pusat. Banyak kuasa seperti polis, kastam, imigresen, Badan Pencegah Rasuah di bawah kuasa pusat. Rangkaian TV dibawah kerajaan Umno/BN, sistem pendidikan kebangsaan di bawah Umno, akta cetak yang membenarkan majalah hiburan di bawah Umno. Secara keseluruhannya ini adalah kegagalan Umno dalam menangani isu ini. Malahan Umno menjadikan ini sebagai senjata untuk terus melekakan rakyat supaya rakyat tidak mempedulikan penyelewingan dan kegagalan mereka menguruskan negara. Mereka tahu apabila belia dilekakan, maka mudahlah mereka mendapat sokongan dan undi dalam pilihanraya.
Sekurang-kurangnya PAS dengan berbagai kekangan telah berusaha membendung supaya menutup pintu perzinaan yang  berakhir dengan pembuangan bayi. Mungkin banyak lagi kekurangan dalam program yang perlu diperbaiki. Walau bagaimanapun usaha PAS adalah lebih baik daripada apa yang kerajaan umno/bn lakukan sehingga keadaan semakin parah.
Ust. Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

GEJALA BUANG BAYI: PERLU KEPADA KAEDAH PENCEGAHAN

Parti Islam Semalaysia (PAS) memandang berat gejala pembuangan bayi di negara ini. Perbuatan durjana yang lebih teruk daripada zaman jahiliah sebelum Baginda dibangkitkan menjadi Rasul. Gejala ini amat memalukan  negara, kebetulan majoriti yang   terlibat ialah orang Melayu Islam. Fenomena yang berlaku menunjukkan gejala yang tidak bermoral ini semakin parah dan menggambarkan kegagalan kerajaan yang ada pada hari ini gagal untuk mendidik rakyat menjadI manusia yang berguna dan tahu tentang nilai hidup mereka.
Peristiwa ini amat memalukan Islam kerana orang Melayu mewakili penduduk yang beragama Islam.  Secara tidak langsung akan merosakkan imej Islam di pandangan orang bukan Islam di negara ini.

Parti Islam Semalaysia (PAS) melihat bahawa kerajaan Umno/BN pada hari ini tidak serius dalam menangani masalah ini. Ia bukan mencari jalan untuk menutup punca supaya gejala ini tidak berlaku. Ia lebih kepada program yang bersifat menyapu sampah di bawah karpet. Program yang dilaksanakan  untuk mengatasi masalah akhlak lebih berorientasikan perniagaan sesama kroni. Sebab itu projek Rakan Muda dan PLKN semuanya menjurus untuk mengkayakan kroni sahaja. Akhirnya matlamat tidak tercapai, sebaliknya wang negara lesap begitu sahaja walau terpaksa membelanjakan wang berbilion ringgit.
 
Sepatutnya dalam menanggani masalah pembuagan bayi ia mesti bertindak sebagai mana kaedah Islam iaitu  “Saddu Zara’ik” menutup pintu kerosakan. Kerajaan sepatutnya mengawal pusat hiburan, memperkatatkan peraturan iklan yang menghairahkan, mewajibkan pelajar Islam memakai tudung, mengawal pergaulan bebas, kempen menutup aurat, kempen jauhi zina.
Selain daripada mendidik dan mengawal maka kaedah yang paling berkesan ialah mesti kembali kepada hukum yang Allah kenakan kerana hukum Allah  mempunyai roh iaitu “nakala minallah” yang Allah akan melontarkan kegerunan untuk pelaku maksiat menjauhkan perbuatan zina. Sudah banyak cadangan yang kerajaan cadangkan, kita tidak dengar satu pun cadangan untuk kembali kepada apa yang diajar oleh ajaran Islam.

Ust, Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat