Monday, March 8, 2010

PAS bantah Kerajaan kecualikan cukai kereta buggy untuk Kelab Golf

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak melihat apa-apa faedah kepada rakyat terhadap dasar Kerajaan BN yang secara tiba-tiba mengumumkan pemansuhan cukai import bagi pembelian baru kereta buggy untuk kegunaan kelab-kelab golf di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Pada masa ini sebuah kereta buggy yang standard diperingkat antarabangsa boleh memuatkan dua orang pemain dengan membawa peralatannya sekali adalah berharga sekitar RM 12 ribu-RM 60 ribu, tidak termasuk harga cukai.

Namun, penggunaan kenderaan jenis ini adalah terhad untuk kegunaan di padang-padang golf mewah untuk pemain-pemain golf. Menurut laman web golf-malaysia.com, Malaysia cuma mempunyai 162 Kelab golf sahaja diseluruh negara dengan kadar yuran keahlian paling rendah adalah RM 4,000 setahun.

Pemain-pemain Golf tempatan kebanyakannya terdiri dari kalangan mereka yang berpendapatan tinggi. Walaupun sudah ada mereka yang berpendapat sederhana bermain golf tetapi hanya sebagai aktiviti santai dan riadah, bukannya untuk menjana pendapatan negara. Mereka yang mengunakan Kereta buggy ini pula hanya golongan mewah, sedangkan pemain golf yang biasa hanya berjalan kaki keliling padang golf.

Di Malaysia kita mempunyai kurang 20 orang pemain profesional yang didahului oleh Danny Chia dan M. Sasidaran. Sedangkan ramai yang lain adalah pemain amatur dan Golf bukanlah kerjaya tetap mereka.

Harapan Malaysia menjadikan 162 Kelab yang ada sebagai destinasi pelancongan bagi peminat Golf tetap boleh terlaksana walaupun Kerajaan tidak mengenakan pengecualian cukai.

Rakyat semakin pelik dengan dasar Kerajaan hari ini, minggu lepas Kementerian kewangan mengumumkan bakal mengurangkan kadar Cukai pendapatan dan Cukai Syarikat. Semalam, cukai kereta buggy pula. Yang pasti Kerajaan cuba mengurangkan cukai-cukai yang dinikmati oleh orang-orang kaya dinegara ini dan kemudiannya mengalihkan beban cukai itu kepada skim cukai baru bernama cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikenakan ke atas semua barangan. Kesannya akan dirasai oleh semua lapisan rakyat bukan golongan kaya sahaja.

Walaupun cukai ini hanya 4 peratus, tetapi ianya dimasukkan secara langsung dalam harga barangan keseluruhan yang dibeli melalui pengusaha-pengusaha kilang, pasaraya dan sebagainya. Tiada rakyat yang akan terkecuali dalam cukai ini dan ia jelas akan membebankan semua pihak tanpa mengira berapa jumlah pendapatan mereka.

Jika beginilah keadaannya rakyat yang kaya akan terus kaya. Setiap tahun rakyat yang miskin hanya mampu melihat senarai 40 orang terkaya di Malaysia termasuk adik Perdana Menteri, sedang mereka menjadi semakin miskin kerana terpaksa membeli barang-barang dengan harga yang mahal.

Orang-orang kaya mungkin tiada masalah membayar RM 4 ribu setahun untuk jadi ahli Kelab Golf, tetapi bagi orang miskin mereka terpaksa belanjakan jumlah yang sama pula untuk tampung kos GST yang dikenakan ke atas mereka.

PAS tidak setuju Kerajaan memansuhkan cukai kereta Buggy dan menolak GST dilaksanakan dinegara ini. Sewajarnya Kerajaan menyusun struktur cukai agar orang-orang kaya dapat memberikan banyak sumbangan pada negara untuk kepentingan rakyat yang miskin yang bekerja untuk mengkayakan mereka. Kerajaan perlu berhemah dalam berbelanja dan bijak menguruskan sistem cukai negara tanpa membebankan rakyat yang tidak sepatutnya dibebankan dengan pelbagai jenis cukai.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat.

Dua Tahun Pakatan Rakyat, PAS Kekal Sebagai Komponen Yang Penting

Pada hari ini, 8 Mac adalah hari yang paling bermakna buat rakyat dan Pakatan Rakyat (PR). Dua tahun yang lalu iaitu pada 2008 rakyat telah menunjukan betapa seriusnya mereka mahukan perubahan dalam kepimpinan negara. Kelantan kekal di tangan PAS dan lima negeri lagi jatuh ke tangan PAS, PKR, DAP iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan (Mujurlah Wilayah tidak ada DUN).

Dengan kejayaan itu, ia memberikan inspirasi kepada penubuhan PR yang mengukuhkan kedudukan rakyat yang bencikan kezaliman BN. PR menguasai 82 kerusi Parlimen dan BN menguasai 140 kerusi Parlimen.

Selepas 8 Mac 2008, Umno kembali menyedari bahawa mereka kini kembali bersendirian menjadi juara BN selepas kekalahan teruk komponen lain kecuali parti-parti di Sabah Sarawak. Umno cuba memujuk PAS untuk bergabung di Selangor, Perak dan Kedah. Di Perak mereka mengunakan Mufti Negeri itu, Tan Sri Harussani Zakaria untuk memujuk PAS mewujudkan kerajaan campuran dengan Umno. Namun PAS terbukti sebagai parti yang mementingkan persahabatan dan tidak pernah lupa akan dosa-dosa Umno-BN kepada rakyat. Ke semua tawaran penuh tipu muslihat itu ditolak dan PAS nekad mewujudkan Kerajaan Pakatan.

Walaupun ramai yang mempersoalkan pendirian PAS berhubung usaha Umno itu, namun jelas bahawa PAS adalah parti yang berprinsip dan tidak mudah terpengaruh. PAS memiliki 3 Menteri Besar di Kelantan, Kedah dan Perak ketika itu.

Umno yang kecewa dan tidak berpuashati dengan kekalahan teruk itu menukar Presiden mereka pada tahun 2009 dan Tun Abdullah Badawi disingkirkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

Sedang diperingkat PR, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen dan memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding semula di Permatang Pauh sebagai tiket untuk memasuki semula Parlimen sejak dipecat oleh Tun Mahathir pada tahun 1998.

Dengan kembalinya Anwar yang kemudiannya dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, PR menjadi lebih kukuh. Usaha mewujudkan PR secara rasmi dibuat dan PR didaftarkan secara rasmi dalam senarai Pendaftar Pertubuhan.

Kerusi PR bertambah selepas PAS kembali menguasai Parlimen Kuala Terengganu dan menjadikan kedudukan di Parlimen 83 PR, 139 BN pada Januari 2009. Dan BN ketika itu terdesak untuk melakukan rombakan strategi.

Tanpa memikirkan kepentingan dan sensitiviti rakyat, Umno-BN melakukan kezaliman terbesarnya dengan merompak Kerajaan PR di Perak melalui strategi membeli 3 orang ADUN- Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Gabungan PR yang begitu muda, dengan usia kurang dari dua tahun ketika itu turut menerima pelbagai cabaran.Umpama anak kecil yang belajar bertatih, PR tidak mengenal erti putus asa. 

Dengan kesepakatan PR, cadangan DAP Kedah untuk keluar PR ditarik balik dan semua pihak kembali bekerjasama.Di Selangor, Umno cuba melagakan PR dengan isu-isu Kerajaan Perpaduan, isu agama-Arak, Nama Allah, Kepala Lembu dan sebagainya. Namun PAS mempunyai cara yang tersendiri, dan PR tidak dapat digoyahkan.

Tidak cukup menyerang PAS, DAP di Selangor difitnah sebagai parti yang ditaja oleh samseng dan kongsi gelap. Malah isu kematian Teoh Beng Hock juga menjelaskan lagi usaha memfitnah DAP yang dikatakan menyalahgunakan dana rakyat melalui penyelewengan beberapa ADUNnya. Namun hingga kini belum ada ADUN yang disabitkan bersalah. Rakyat pula bertanya, kenapa ADUN PR dikejar oleh SPRM macam mengejar penjenayah besar, sedangkan Khir Toyo dan beberapa ADUN BN yang dilaporkan mengamalkan rasuah semasa memerintah lambat diambil tindakan.

PKR juga diserang dengan pelbagai isu, dari kes ADUN Bukit Lanjan hinggalah kes YBK yang mana jelas Umno cuba menunjukan kepada rakyat yang kononnya PR menindas rakyat.

Di Pulau Pinang, isu kontraktor Melayu tidak habis-habis diungkitkan. Tetapi rakyat tahu bahawa begitu banyak kontraktor Melayu mendapat manfaat dengan pemerintahan PR. Yang gagal dapat projek adalah kontraktor Umno yang selalu mengambil tender kemudian menjualnya pada bukan Melayu.

Di Kelantan, Umno-BN menumpukan serangan kepada batang tubuh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pelbagai isu peribadi beliau dijadikan bahan oleh Umno, namun rakyat Kelantan lebih mengenali beliau menolak fitnah-fitnah yang dilontarkan Umno.

Penat menabur fitnah, kini BN berusaha kembali untuk menguasai 2/3 Parlimen dengan membeli beberapa ahli Parlimen. Bermula dengan Ibrahim Ali di Pasir Mas, BN kemudiannya membeli secara borong 3 ahli Parlimen PKR yang keluar secara bergilir-gilir.Bermula dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed, kemudian Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri. PKR turut memberikan satu lagi ahli parlimen yang paling bermasalah iaitu ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu,  Zulkifli Noordin sebagai 'hadiah'- Beli 3 dapat 1 'percuma'. Yang pasti ramai menganggap mereka adalah 'sampah-sampah' terbuang yang dihambat keluar bagi membersihkan PR.

Walaupun PR kini tinggal 78 kerusi namun, itu sedikitpun tidak melunturkan kekuatan PR. Pergolakan Pakatan secara dalaman dan luaran adalah lumrah bagi mana-mana organisasi. Namun PR masih kekal bersatu walaupun permulaannya seperti anak-anak yang mula bertatih, namun PR cepat belajar dari apa yang berlaku.

PAS mengucapkan tahniah buat seluruh kepimpinan PR, ahli dan mereka yang menyokong PR selama 2 tahun kebelakangan ini. Kekuatan PR bukanlah kerana satu, dua atau tiga individu sahaja. ianya adalah kekuatan semua pihak dari akar umbi hinggalah ke pucuk pimpinan.

Kepada semua wakil rakyat PAS berharap agar anda menunaikan amanah rakyat dengan sebaiknya dan ingatlah, sesungguhnya amanat rakyat yang terpikul dibahu bukanlah barang mainan yang boleh digadai sana sini. Jika hari ini anda fikir boleh menjual diri anda dengan wang ringgit, ketahuilah ketika mati nanti tidak mustahil akan datang orang-orang yang membenci kezaliman itu diatas kubur anda pula.

Di peringkat PAS kita mengharapkan kerjasama dari semua ahli, penyokong dan kepimpinan untuk sama-sama melangkah kehadapan demi untuk kebaikan rakyat dan semua pihak. PAS meletakkan perjuangan Islam sebagai keutamaan dalam memberikan keadilan, kesejahteraan dan manfaat buat semua. Kerana perjuangan Islamlah yang meletakan PAS berdiri teguh pada hari ini dan menjadi komponen Pakatan yang amat penting, efektif dan progresif hari ini.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS nekad bantah GST, pengurangan cukai pendapatan hanya untungkan orang kaya

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membantah cadangan Kerajaan Barisan Nasional yang nekad melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan menjelang pertengahan 2011 bagi mengantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia.

Pada masa ini kedua-dua cukai itu masing-masing berada 10 peratus dan lima peratus, tetapi hanya meliputi barang mewah sahaja dan bukannya barangan keperluan utama. Walaupun GST hanya 4 peratus tetapi ia akan melibatkan ke semua jenis barang termasuk barangan keperluan utama yang dikawal.

Strategi Kerajaan yang mahu mengurangkan cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur bagi mengurangkan beban pengguna ini juga dilihat tidak logik kerana pembayar cukai pendapatan dan syarikat hanya melibatkan mereka yang berkemampuan, sedangkan cukai GST akan melibatkan semua lapisan rakyat termasuk mereka yang tidak berkemampuan.

GST akan menyusahkan ibubapa yang mahu membeli susu untuk anak-anak mereka, peniaga restoran juga terpaksa menaikan harga makanan jika beras, ikan, daging, ayam dan sayuran dikenakan cukai. Mereka yang hidup diluar bandar pasti akan lebih terasa kerana barangan keperluan yang dihasilkan dikilang akan meningkat dalam pasaran. 

PAS juga melihat pembatalan cadangan penstrukturan semula subsidi Petroleum tidak memberi apa-apa makna, kerana bila GST 4 peratus dilaksanakan, kemungkinan harga minyak bercukai ini akan naik sebanyak 10 sen seliter atau lebih dari itu.

Harga tambang perkhidmatan juga kemungkinan akan berubah dengan peningkatan sebanyak 4 peratus. Bayangkanlah nasib pengguna perkhidmatan Komuter, LRT, Bas dan kapal terbang dimasa depan dengan cukai ini.

Bagi barangan yang dihasilkan dalam kilang pengguna berkemungkinan menerima cukai GST 8 peratus kerana 4 peratus dikenakan oleh pengilang dan 4 peratus dikenakan melalui pemborong atau penjual dipasaran.

Rakyat harus membuka mata terhadap isu ini dan PAS nekad membantah dasar GST demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, March 4, 2010

PAS mahu SPA utamakan kakitangan kontrak, Kerajaan bukan alat Umno

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mencadangkan agar pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memberi keutamaan kepada kakitangan kontrak bagi mengisi 50 ribu jawatan baru bagi tahun ini seperti yang diumumkan oleh Setiausahanya, Datuk Lamien Sawiyo semalam.

Sebelum ini PAS telah menerima banyak maklumbalas berhubung penamatan perkhidmatan kakitangan kontrak yang mula berkuatkuasa bulan ini. Dianggarkan lebih 60 ribu kakitangan kontrak akan diberhentikan bagi menyelaraskan dasar berjimat cermat kerajaan.

PAS melihat bahawa sebahagian besar kakitangan ini mempunyai kemampuan dan pengalaman yang melayakan mereka untuk meneruskan perkhidmatan sebagai kakitangan tetap dan ini adalah tanggungjawab SPA untuk memastikan negara tidak mengalami begitu banyak kerugian serta dapat membantu mereka.

Dalam masa yang sama, PAS berharap agar Kerajaan dapat meningkatkan intergriti kakitangannya bagi mengelakkan gejala rasuah yang dilakukan oleh pegawai SPRM baru-baru ini menular ke jabatan lain. PAS juga menyeru agar Ketua Setiausaha Negara meningkatkan kredibiliti organisasi kerajaan disemua peringkat dan tidak membiarkan jentera Kerajaan menjadi alat tunggangan Umno-BN seperti yang berlaku dalam kes siasatan terhadap 37 orang guru di Pulau Pinang akhir bulan lepas dan juga beberapa siri Pilihanraya Kecil tahun lepas.


Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Kematian Syafiah Humairah tamparan hebat kepada Kerajaan dan rakyat

Parti-Islam Se-Malaysia (PAS) melahirkan rasa kesal dan dukacita diatas kematian seorang anak kecil yang tidak berdosa, Syafiah Humairah Sahari. PAS melihat kematiannya adalah tamparan hebat kepada Kerajaan, rakyat dan keseluruhan sistem masyarakat di negara ini.

PAS yakin, majoriti rakyat dinegara ini berasa marah dan mahu pembunuhnya dihukum mati. Dalam Islam, hukuman bagi kes sebegini adalah dipancung dikhalayak ramai sebagai pengajaran kepada rakyat keseluruhannya. PAS berharap agar pihak polis mempercepatkan siasatan kes ini.

PAS juga menyeru kepada Kerajaan untuk menyemak semula modul sistem masyarakat dan keluarga yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar selari dengan kehendak Allah. Usaha murni membina masyarakat bukan tergantung kepada satu Kementerian ini sahaja, tetapi ianya melibatkan semua organisasi Kerajaan yang secara langsung turut memberikan input kepada pembinaan sistem masyarakat di negara ini.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan harus membantu untuk memberikan input-input positif dalam masyarakat dan bukannya melambakkan masyarakat dengan dunia hiburan dan tahyul sahaja. Kajian terhadap kehidupan dan cara fikir rakyat perlu dibuat secara kerap dan tidak hanya bergantung pada kempen-kempen budi bahasa yang menghabiskan duit rakyat dengan begitu banyak pelancaran dan konsert.

Kes Syafia ini juga menuntut agar rakyat kembali kepada cara hidup Islam dan menjadikan keluarga sebagai nadi kekuatan bagi setiap anggotanya. Institusi keluarga yang hancur seperti yang dilalui oleh Syafia adalah contoh realiti yang berlaku dalam masyarakat. PAS yakin bahawa ramai lagi anak-anak malang yang hidup dalam suasana seperti Syafia dan perlukan perhatian masyarakat.

Oleh itu PAS berharap agar rakyat dan Kerajaan keluruhannya bekerjasama bagi memulihkan sistem masyarakat yang kian terdedah kepada keganasan ini. Tidak guna jika negara ini maju dan menjadi global player tetapi dalam masa yang sama kita hilang identiti sosial untuk diwariskan pada generasi akan datang. PAS yakin, hanya Islam yang mampu berikan kesejahteraan dan perlindungan bagi setiap insan.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat