Friday, January 29, 2010

Projek Runtuh Di Terengganu Bukti Wang Ehsan Tidak Berkat, Kelantan Jangan Terima

Parti Islam Se-Malaysia (PAS),  menyelar tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang masih enggan membayar wang royalti Kepada Kelantan tetapi memaksa Kelantan menerima wang ehsan bernilai RM 20 juta pada Mac ini.

Pengakuan Kerajaan BN bahawa memang terdapat pengeluaran minyak di Blok PM302 iaitu kawasan perairan bertindih Kelantan-Thailand membuktikan bahawa penafian mereka selama ini adalah satu pembohongan. Dakwaan bahawa wang ehsan diberikan kerana hasil yang diperolehi di Blok PM302 menguatkan lagi bukti ketidak jujuran Mustapha Mohamad kepada rakyat Kelantan.

BN juga menafikan hak Kelantan terhadap hasil minyak bagi telaga di Pelantar Bintang yang bertindih dengan negeri Terengganu. Walaupun pakar Geologi telah mengesahkan ianya hak Kelantan, tetapi demi kerakusan mereka, BN sanggup berbohong.

Dalam mana-mana uruniaga dan perjanjian dengan Petronas, terma 'wang ehsan' tidak pernah wujud. Hanya terma 'wang royalti' sahaja yang ada. Kerajaan BN culas dalam hal ini dan mengunakan 'terma 'wang ehsan' seolah-olah Kelantan meminta sedekah walhal sumber minyak itu keluar dari perut bumi Kelantan.

PAS yakin jika wang ehsan ini dibawa masuk ke Kelantan, ianya adalah sumber yang tidak berkat kerana diberikan atas niat politik iaitu mahu meraih undi Kelantan kepada BN. 

Wang yang tidak berkat ini jika digunakan akan memberikan mudarat dimasa hadapan. Kita sudah melihat contoh yang nyata terhadap apa yang berlaku di Terengganu setelah menerima wang ehsan. Pelbagai projek dijalankan, tetapi hasilnya yang kita lihat pada tahun lepas sahaja amat memeranjatkan.

Beberapa bangunan yang dibina mengunakan wang ehsan telah runtuh antaranya, Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Masjid Kampung Puteh, Dewan Sek.Men. Wakaf Tapai dan menara telekomunkasi di Besut dilaporkan tumbang. 

Pusat Akuatik di Batu Burok, Kuala Terengganu pula bocor dan Siling Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Seberang Takir runtuh.

Inilah  bukti hasil ketidakikhlasan wang ehsan, dimana kerajaan negeri kini terpaksa menangung kerugian yang besar dan duit rakyat hangus begitu sahaja.

PAS berharap tragedi ini menjadi peringatan kepada rakyat Kelantan dan seluruh negara bahawa Allah juga tidak redha dengan ketidakikhlasan Umno-BN yang sanggup menafikan hak rakyat demi untuk kepentingan mereka.

PAS menyeru Ahli dan penyokong untuk bersama-sama bersolat hajat diseluruh negara malam ini dan berharap agar Kelantan mendapat hak mereka.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Kutuk Penangkapan ISA, Mahu 10 tahanan dibicarakan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk pengunaan Akta ISA terhadap 10 orang suspek pengganas termasuk beberapa pelajar asing dari luar negara. Salah seorang yang ditahan juga adalah rakyat tempatan.

PAS bertegas menolak penggunaan Akta ISA dan mahu 10 tahanan ini dibicarakan dimahkamah terbuka. Keengganan Menteri Keselamatan Dalam Negeri mendedahkan nama 10 suspek berkenaan menimbul kecurigaan kepada rakyat. 

Sewajarnya identiti mereka didedahkan bagi menunjukan pihak Kerajaan benar-benar membuat tangkapan dan membuat siasatan penuh ke atas mereka. Penahanan dibawah Akta ISA tidak memberikan apa-apa jawapan kepada rakyat, kerana kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar bersalah atau sengaja dikambing hitamkan demi untuk menunjukan Menteri keselamatan Dalam Negeri menjadi hero dalam membantu Amerika yang kini giat memburu Pengganas antarabangsa.

Malaysia sebelum ini terkenal sebagai negara transit kepada pendatang tanpa izin, transit kepada aktiviti pengedaran dadah, transit kepada aktiviti pelacuran, transit kepada aktiviti penjualan bayi, transit kepada pengubahan wang haram, transit kepada aktiviti cetak rompak dan negara transit kepada pengganas. Tetapi itu semua tidak bermakna Kerajaan boleh menangkap orang sesukahati tanpa membuktikan mereka bersalah dimahkamah.

Adalah satu kezaliman jika orang yang dituduh itu tidak bersalah tetapi ditahan dibawah akta ISA dan terpaksa melalui musim-musim penderaan yang mengerikan untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 2 tahun di Kamunting atau di Kluang.

PAS yakin, dengan tindakan terbaru ini jelas rakyat sudah melihat bukti bahawa Malaysia adalah negara Polis, dan Menteri yang juga ahli Politik Barisan Nasional bebas menahan sesiapa sahaja tanpa perlu membuktikan kesalahan mereka. Maka, tidak mustahil juga akta ini akan digunakan suatu hari nanti kepada pemimpin-pemimpin Politik atau rakyat yang tidak bersetuju dengan parti Menteri tanpa perlu dibuktikan kesalahan mereka.

Ops Lalang dan penangkapan pemimpin Reformasi membuktikan perkara berkenaan. Sehingga kini mangsa yang telah bebas tidak tahu apakah kesalahan mereka hingga terpaksa merengkok dalam penjara dan disiksa. Pihak Polis juga hingga kini gagal membuktikan kesalahan mereka dan jelas segala pertuduhan yang dibuat semasa penahanan adalah fitnah.

PAS mendesak Kerajaan mendakwa 10 tahan ini bersama tahanan-tahanan sedia ada dimahkamah dan mansuhkan akta ISA.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Kutuk Insiden Kepala Babi

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membaling kepala babi di perkarangan masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Perbuatan khianat ini jelas bertujuan untuk memprovokasi umat Islam untuk bertindakbalas. PAS berharap agar umat Islam dinegara ini dapat bertenang dan tidak terpengaruh dengan provokasi ini.

Sejak keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk 'God', jenayah membakar, menyerang dan cuba menimbulkan ketegangan kaum menjadi-jadi.

PAS berharap agar pihak Polis meningkatkan rondaan keselamatan dan juga membuat siasatan segera terhadap insiden yang dilaporkan. PAS juga menyeru kepada rakyat dan NGO membantu pasukan keselamatan bagi memantau perkara ini bagi mengelakkan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini terus berlaku.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wakil Jawatankuasa: Kelantan tolak, Awang Adek dan Umno Khianat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar tindakan Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang mendakwa bahawa sebuah jawatankuasa yang turut disertai kerajaan negeri Kelantan akan ditubuhkan bagi menentukan jenis projek dan kaedah penyaluran wang ihsan. 

Awang Adek cuba menunjukan bahawa Kelantan seolah-olah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa. Kenyataan putar belitnya jelas menyimpang jauh dengan pendirian Kelantan yang menolak idea Wang Ehsan bagi mengantikan Wang Royalti bagi isu minyak dinegeri itu. Menteri Besar kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan;

"Kalau dijemput untuk runding terima wang ihsan, saya tak akan pergi, kerajaan negeri seratus-peratus akan tolak. "

"Kalau nak bagi ihsan tak payah rundinglah, kerana dia paksa dan saya tidak akan terima"

Sebagai orang Kelantan, Awang Adek sewajarnya mempunyai rasa kebersamaan dengan rakyat untuk pertahankan hak dan sumber negeri Kelantan bukannya mengkhianati rakyat.

Kempen Umno Juara Rakyat di Kelantan sudah gagal sebelum dilancarkan dek kerana isu tuntutan Royalti ini. Maka PAS mengingatkan Awang Adek yang menjadi Timbalan Menteri dari pintu belakang pejabat Perdana Menteri agar tidak memainkan wayang pacak yang enggan dilihat oleh rakyat. Tuntutan rakyat Kelantan jelas, bayar wang royalti bukan wang ehsan.

Kalau Kelantan terima wang ehsan hari ini maka sampai bila-bila pun ianya akan kekal wang ehsan sama seperti yang BN Terengganu hadapi sekarang. Maka rakyatlah yang akan rugi kerana berbilion wang royalti yang jadi hak negeri telah dirompak oleh Kerajaan Persekutuan. Ketahuilah, rakyat Kelantan bukannya peminta sedekah sampai perlukan duit ehsan, rakyat Kelantan berhak dapat Royalti.

PAS berharap dengan keputusan tegas Kerajaan Negeri itu, maka wang ehsan tidak menjadi keperluan atau isu sekarang. Sekiranya wang ehsan itu masuk ke Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan maka ianya adalah wang haram dari segi semangat federalisme

PAS yakin, Umno akan mengunakan wang itu sepenuhnya bagi menjalankan kempen Umno Juara Rakyat di kelantan dengan menaja wakil rakyat dan Umno Bahagian mengadakan program bersama rakyat. PAS juga yakin rakyat Kelantan memahami perkara ini, dan sesekali tidak akan membiarkan Kelantan menjadi seperti Terengganu yang kembali kepada BN setelah wang ehsan ditaburkan.

PAS juga mahu Jabatan Audit Negara memeriksa akaun Jabatan Pembangunan Persekutuan yang ditubuhkan oleh BN disemua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, kerana rakyat mahu tahu berapa banyak duit mereka dibazirkan oleh 'Kerajaan haram BN' ini.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Friday, January 22, 2010

Gabem ejen Umno, cuba kelirukan rakyat Kedah

Parti Islam Se-Malaysia memperingatkan Pengerusi Majlis Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) negeri Kedah, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail agar tidak cuba menimbulkan kesangsian dan spekulasi yang tidak berasas terhadap keadaan ekonomi Kedah yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Gabem yang juga merupakan sayap kepada Biro Ekonomi Umno dilihat cuba menimbulkan keraguan rakyat terhadap kejayaan yang telah dilakukan oleh Pakatan di negeri berkenaan.

Kedah diambil alih oleh Kerajaan Pakatan dalam keadaan negeri itu menangung hutang melebihi RM 2 Bilion setelah ditadbir BN selama 11 penggal. Selepas Pakatan memerintah, dari Januari sehingga Ogos tahun 2009, negeri kedah berjaya menarik pelaburan bernilai RM837,345,329 untuk menduduki tempat kelima dalam senarai negeri yang mencatat jumlah pelaburan tertinggi selepas Sarawak, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Sehingga Oktober 2009, Kedah berjaya mengutip hasil RM211.6 juta. Peningkatan juga berlaku melibatkan kenaikan kutipan royalti bahan batuan sebanyak RM19 juta dan hasil balak daripada RM8 juta setahun kepada RM35 juta.

11 buah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjaya menyalurkan dividen kepada kerajaan negeri sebanyak RM30 juta.

Fakta yang paling jelas menunjukan kejayaan Pakatan di Kedah adalah laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri yang memperjelaskan bahawa perbandingan kadar kemiskinan di Kedah 2004 (zaman BN) dan 2009 (zaman Pakatan),  berubah secara drastik daripada tujuh peratus kepada tiga peratus.

Kadar kemiskinan tegar berkurangan daripada 1.3 peratus kepada 0.3 peratus, pendapatan kasar bulanan isi rumah meningkat daripada RM2,126 kepada RM2,408, kadar pengangguran berkurangan daripada 3.8 peratus kepada 3.3 peratus.

Ini adalah fakta-fakta awal yang dinafikan oleh Gabem demi untuk mempertahan kegagalan BN di Kedah selama ini. Gabem harus bersikap realitistik bahawa Kedah kini ditadbir oleh Pakatan dan sepatutnya membantu Kerajaan negeri untuk memajukan ekonomi rakyat bukannya menimbulkan spekulasi yang boleh merugikan ekonomi negeri.

Gabem sebagai proksi Umno juga pada tahun lepas telah gagal memainkan peranannya untuk mempertahankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dibubarkan dalam penyusunan semula Kabinet.

Gabem turut bertanggungjawab membiarkan Presiden Umno memansuhkan syarat 30 peratus ekuiti bumiputra untuk pelaburan asing yang masuk ke negara ini. Sebagai badan yang kononnya mempertahankan ekonomi Melayu Gabem bersama Umno jelas telah mengkhianati orang Melayu dan bumiputra dinegara ini.

PAS  yakin rakyat sedar bahawa Gabem merupakan satu organisasi yang ditubuhkan demi untuk memberikan ruang kepada kroni-kroni Umno menguasai ekonomi dan GLC milik Kerajaan yang mana mereka juga bertanggungjawab untuk membantu ekonomi Umno.Kebanyakan syarikat yang bukan ahli Gabem sering dinafikan hak untuk menerima tender Kerajaan Persekutuan selama ini. Jelas Umno dalam semua aspek cuba untuk menjahanamkan rakyat dan cuba sedaya upaya mensabotaj Kerajaan Pakatan.

Diharap rakyat dapat membuka mata dengan segala fakta dan perbandingan yang diberikan. Walaupun baru dua tahun menguasai Kedah, dan dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak Pakatan berjaya membuktikan bahawa pilihan rakyat dalam Pilihanraya Umum Mac 2008 adalah tepat.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wednesday, January 20, 2010

Perahu terbalik-PAS Ucap Takziah, mahu Kementerian dan Sekolah bertanggungjawab

Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa perahu naga yang  terbalik di Pulau Pinang pada hari Ahad, 17 Januari baru-baru ini.

Insiden malang ini menyebabkan negara kehilangan enam warganegara muda melibatkan seorang guru berusia 20 tahun, Chin Ai Fang dan lima pelajar dari Sekolah Tinggi Chung Ling, Air Itam-Jason Ch’ng, Chin Aik Siang, Cheah Zi Jun, Koh Yizhiang dan Brandon Yeoh. Daripada 18 orang yang menaiki perahu naga tersebut, hanya 12 orang sahaja yang dapat diselamatkan.

Pastinya tragedi ini akan memberikan kesan yang mendalam kepada keluarga mangsa dan pelajar-pelajar lain.

Insiden ini boleh dianggap kecuaian yang terburuk melibatkan pelajar sekolah selepas tragedi jambatan gantung yang runtuh di Kuala Dipang pada 26 Oktober tahun lalu.

PAS mahu punca tragedi ini disiasat dan meminta Kementerian Pelajaran serta pihak sekolah bertanggungjawab sepenuhnya termasuk memberikan pampasan kepada keluarga mangsa kerana gagal mematuhi langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

Penggunaan jaket keselamatan adalah perkara wajib bagi aktiviti sukan  khususnya yang melibatkan kawasan laut dan sungai. Maka adalah tidak wajar, pihak sekolah memandang remeh perkara ini hingga menyebabkan enam nyawa terkorban.

PAS berharap agar pihak Kementerian mengambil iktibar dan dapat memastikan setiap sekolah dinegara ini mengambil langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang sewajarnya sebelum membawa mana-mana pelajar mereka menyertai aktiviti didalam atau diluar Sekolah.

Penggunaan surat pelepasan tanggungjawab pada masa kini dilihat sudah tidak releven kerana pihak sekolah wajar bertanggungjawab termasuk memberikan jaminan insurans terhadap sebarang insiden yang berlaku sepanjang aktiviti dijalankan. 

Adalah menjadi tanggungjawab pihak Sekolah untuk memastikan setiap pelajar mereka dapat kembali dengan selamat ke pangkuan Keluarga masing-masing selepas menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


Jentera Pilihanraya PAS diminta bantu SPR Daftar 4.39 juta pengundi

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengesa Jentera Pilihanraya PAS disemua peringkat Parlimen dan DUN untuk membantu Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bagi mendaftarkan 4.39 juta pengundi yang belum mendaftar sebagai pemilih. Jumlah yang dilaporkan oleh SPR semalam adalah baki 28 peratus dari jumlah pemilih yang layak tetapi masih belum dapat mendaftar. Ini bermakna hampir satu pertiga pengundi dinegara ini belum mendaftar.

Rekod Pilihanraya Umum Mac 2008 menunjukan 72 peratus iaitu 7,878, 875 pemilih keluar mengundi dari 10,922,139 pemilih berdaftar diseluruh negara. Secara kasarnya jika dicampur jumlah yang tidak mengundi dan belum mendaftar, maka jumlah keseluruhan mereka adalah 7.49 juta atau lebih dari separuh pemilih yang layak mengundi tidak menyertai Pilihanraya 2008.
 
Oleh itu PAS menawarkan satu kerjasama serius disegerakan antara SPR dan diperingkat akar umbi PAS bagi memberikan kefahaman kepada rakyat tentang pentingnya mereka melibatkan diri serta besarnya nilai undi mereka dalam menentukan hala tuju negara. Demi memastikan negara ini dapat dipimpin oleh Kerajaan yang lebih baik dimasa hadapan, program-program kempen pendaftaran pengundi baru perlu digerakkan dan disusun secara berjadual.
 
PAS melihat inilah peluang untuk memberikan sumbangan kepada demokrasi dan memimpin rakyat untuk memahami hak mereka sebagai pengundi. Jentera PAS perlu serius untuk mengambil peluang dalam menyampaikan dakwah dan juga hasrat perjuangan sebagai mengalakkan rakyat keluar mengundi kelak.
 
PAS juga berharap agar pengundi dalam Pilihanraya akan datang dapat membuat penilaian dan keputusan yang berani demi mengubah landskap pemerintahan negara yang sudah 12 penggal ditadbir oleh Kerajaan yang korup dan zalim.
 
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Kerajaan BN Jimat 1.3 Bilion untuk Gula, Bazir 1 Billion untuk F1

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan dasar meringankan beban tanggungan subsidi gula yang diperkenalkan Kerajaan BN sehingga menyebabkan kenaikan harga sebanyak 20 sen. Dasar ini menunjukan bahawa Kerajaan BN cuba melepaskan tanggungjawab ekonomi mereka terhadap rakyat. Mungkin pada pandangan kerajaan 20 sen adalah nilai yang kecil bagi kenaikan sekilogram gula, tapi rakyat risau dengan naiknya harga sedemikian sudah boleh dianggap besar sebab bukan gula sahaja yang ingin dibeli setiap bulan. Banyak lagi barang pengguna lain seperti tepung, beras, minyak masak dan sebagainya yang berkemungkinan besar akan naik. Jadi kerisauan ini akan terus berlaku sebab harga gula tanpa subsidi boleh berubah, begitu juga dengan harga keperluan lain yang boleh berubah.

Dasar Kerajaan BN yang mahu mengurangkan beban subsidi memang tidak digemari rakyat, apa lagi jika dalam keadaan sekarang Kerajaan BN juga mahu perkenalkan dasar GST untuk hampir semua jenis barangan serta kenaikan cukai-cukai lain. Ini membuktikan Kerajaan BN sudah tiada wang untuk memerintah sebab telah banyak dibazirkan sebelum ini. PAS memahami kesulitan Kerajaan dalam hal ini, namun sebarang kenaikan tidaklah wajar pada masa ini kerana negara masih mampu jika dasar berjimatnya betul. Walaupun Kerajaan BN bangga mengatakan bahawa telah berjimat sebanyak RM 1.3 Bilion, namun rakyat sakit hati kerana dari penjimatan itu, Kerajaan telah bazirkan RM 1 Bilion dalam budget tahun 2010 untuk tujuan memajukan sukan F1 yang bukan melibatkan kepentingan atau faedah semua rakyat.

PAS juga jelas bahawa, pelaburan RM 1 Billion itu adalah perbelanjaan hangus yang mana hasilnya tidaklah seberapa. PAS mahu kerajaan meningkatkan intergriti dan memperbaiki budget negara agar tidak membebankan rakyat.  Kerajaan seharusnya bijak untuk mengunakan wang cukai rakyat dan tidak meminta rakyat berjimat sedang kerajaan membazir.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat 

Wednesday, January 13, 2010

'Terkawal' 9 Gereja diserang, PAS Tolak ISA digunakan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk serangan terhadap sembilan gereja sejak 8 Januari lepas berikutan bantahan meluas tentang isu penggunaan nama Allah oleh akhbar Herald. PAS juga kesal dengan ugutan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mahu mengunakan ISA bagi menyelesaikan masalah ini.
 
Jelas apa yang berlaku sekarang dan ugutan Menteri ini menafikan kata-kata manis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjamin bahawa keadaan di negara ini adalah terkawal. 
 
PAS melihat bahawa Hishamuddin gagal menyelesaikan masalah ini walaupun sebelum ini mendakwa sudah mengenalpasti suspek yang membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati. Hingga kini rakyat bertanda tanya tentang tindakan lanjut Polis terhadap suspek-suspek itu. Bilakah mereka akan ditangkap dan didakwa dimahkamah? Rakyat juga risau kerana setiap hari ada sahaja gereja yang diserang seperti rekod berikut;
 
 
8 Januari 2010
  • Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dibakar
  • Gereja Assumption di Petaling Jaya dibaling bom api
  • Gereja Life Chapel di Petaling Jaya dibaling bom api
9 Januari 2010
  • Gereja Good Shepherd Luthern di Petaling Jaya dibaling bom api
10 Januari 2010
  • Gereja Baptist Melaka di Durian Daun, telah disimbah dengan cat hitam.
  • Gereja All Saints di Taiping dibaling bom api
  • Pos pengawal SM Convent di Taiping dibaling bom api
  • Gereja St Louis yang terletak bersebelahan SM Convent juga dibaling bom api
  • Gereja Good Sheperd dekat Lutong Bazaar, Miri di baling bata
11 Januari 2010
  • Pintu utama Gereja, Sidang Injil Borneo (SIB) di bangunan rumah kedai dua tingkat di Lake View Square, Seremban dibakar
PAS berharap agar Menteri tidak mengambil jalan mudah dan menjadikan isu ini sebagai Ops Lalang kedua, di mana suspek yang membakar gereja gagal ditangkap tapi orang lain pula disumbatkan ke dalam ISA demi kepentingan politik BN menjelang PRU-13.
 
Mesej rakyat kepada Menteri jelas, "Buat Kerja, Jangan Cakap Merapu-rapu".
 
PAS berharap agar rakyat pelbagai agama dinegara ini dapat bertenang dan tidak terus menerus melayan provokasi yang dicipta oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Rakyat perlu bekerjasama untuk menjaga rumah-rumah ibadat dan komuniti keseluruhannya dari menjadi sasaran penjenayah. Isu penggunaan nama Allah hanya boleh diselesaikan dengan akal yang waras bukannya dengan tindakan ganas.
 
Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wednesday, January 6, 2010

Umno pertahan nama Allah, tapi khianat Islam

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan sikap Umno yang menangguk di air keruh dan mempolitikan isu nama Allah demi kepentingan mereka yang mahu diiktiraf 'juara rakyat' secara 'fast track'.
 
Maka PAS mendesak Umno yang bangga dengan status 12 penggal mentadbir Malaysia untuk meminda Perlembagaan bagi menghalang pengaruh agama-agama lain terhadap umat Islam..Harus diingat bahawa Umno bertanggungjawab dalam mewujudkan Enakmen Syariah bagi Mahkamah Syariah di negara ini, yang mana didalamnya terkandung klausa yang membolehkan umat Islam memohon untuk murtad sedangkan amalan perundangan ini tiada dalam hukum Islam. PAS menuntut klausa ini dimansuhkan segera.
 
PAS juga kesal kerana Umno suatu ketika dahulu pernah cuba membuang nama Islam dari digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam. Umno juga bertindak zalim dengan merobohkan serta mengunci beberapa masjid dan surau sebelum ini kerana dendam politik.
 
PAS juga yakin bahawa rakyat turut berasa kesal kerana pemimpin-pemimpin Umno yang tegar mempertahankan nama Allah hari ini masih enggan mematuhi seruan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menegah mana-mana umat Islam bertafakur dihadapan tugu negara yang dianggap sebagai perbuatan syirik yang 'berlesen besar'.
 
Umat Islam juga jelak dengan pemimpin Umno yang berdegil membenarkan ahli-ahlinya menjadi Ahli Lembaga Pengarah syarikat judi dan arak dinegara ini. Malah Umno juga enggan mengeluarkan larangan kepada umat Islam untuk bekerja di premis arak dan judi.
 
Pemimpin-pemimpin Umno juga bertanggungjawab dalam menekan Jabatan-jabatan Agama yang melakukan operasi dipusat-pusat hiburan dan maksiat. Suatu ketika dahulu Umno pernah mempertikaikan tindakan JAWI menahan umat Islam yang didapati minum arak secara terbuka di Kelab Malam Zouk di Jalan Ampang.
 
PAS dan umat Islam juga belum dapat memaafkan dosa Umno yang menarik bantuan kepada Sekolah-sekolah Agama rakyat yang menyebabkan berpuluh sekolah terpaksa ditutup dan pendidikan agama anak-anak umat Islam disekat. Umno juga pernah mencuba untuk menyekat perkembangan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang ditubuhkan PAS bagi memberikan didikan kepada anak-anak pra-sekolah, malahan PASTI di Melaka telah disaman oleh kerajaan Umno di Melaka
 
Tidak dilupakan juga, rakaman debat olok-olok yang diadakan oleh Umno bagi mempertikaikan dasar-dasar Islam yang dibawa PAS. Walaupun akhirnya debat itu berjaya menjelaskan kejahilan Umno terhadap Islam, namun rakyat melihat mereka sebenarnya mereka sengaja mempermainkan-mainkan dasar-dasar Islam dalam debat yang dianggap memperolokkan Islam keseluruhannya.
 
Terlalu banyak bukti yang menunjukkan pengkhianatan Umno kepada Islam dan PAS berharap isu nama Allah ini akan memberikan keinsafan buat Umno. Akibat dari kecurangan mereka terhadap Islam maka, sudah ada orang  berani mencabar Islam di negara ini.. PAS menolak sebarang aktiviti ekstrim dan provokasi melampau dalam isu ini.
 
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sunday, January 3, 2010

PAS KECEWA MAHKAMAH BENARKAN PERKATAAN ALLAH DALAM MINGGUAN HERALD THE CATHOLIC

Parti Islam Semalaysia (PAS) kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya..
PAS bimbang dengan membenarkan penggunaan nama Allah dalam penerbitan ini akan menimbulkan kekeliruan  di kalangan orang Islam terutama di kalangan muallaf dan mereka yang hendak mendekatkan diri dengan Islam.
Penggunaan nama Allah telah dianggap sebagai serasi dengan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini yang merujuk kepada penggunaan itu hanya untuk agama Islam sahaja. Perkara ini telah diakur sejak turun temurun oleh penganut agama Kristian di negara ini.
Penggunaan nama Allah dalam al-Quran, maksudnya  “Dan jika kamu bertanya kepada mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka mengatakan Allah”. Allah yang mereka akur ialah sebagai Tuhan  “Pencipta”, bukan sebagai Allah yang tunggal yang patut disembah. Ini dinamakan kepercayaan Rububiyyah, bukan kepercayaan Uluhiyyah.
PAS mengharapkan supaya pihak Kerajaan membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi supaya ia mendatangkan kebaikan kepada kita bersama. Menghalang penggunaan nama Allah ini sebagai satu langkah “Soddu Zarai’c” untuk menutup pintu keburukan di kalangan masyarakat Islam khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.
Perlu  ditegaskan ini bukan berarti PAS menentang kebebasan agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka sediri di negara ini. Selama ini PAS yang memerintah di Kelantan hampir 20 tahun memberi kebebasan kepada penganut agama yang manoriti mengamalkan agama mereka tanpa apa-apa gangguan daripada pihak berkuasa Pas di Kelantan.
Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat