Wednesday, February 24, 2010

Umno Bercelaru Antara Perarakan Maulid dan Bertafakur Depan Tugu Negara

Umno semakin bercelaru antara perkara usul dan furuk dalam agama. Isu perarakan maulid seolah-olah kalau tidak buat boleh menjejaskan aqidah. Pada fahaman mereka kalau tidak ada perarakan semacam mengerjakan haji tidak ke Arafah. Sedangkan perarakan maulid hanyalah salah satu program di dalam upacara sambutan maulid nabi SAW, yang dilakukan setengah tempat di negara ini.

Tetapi isu ini menjadi panas kononnya kerajaan Pulau Pinang membatalkan program perarakan maulid pada 26hb Feb 2010. Walaupun program perarakan tetap  dijalankan, pemimpin Umno bising dengan menuduh kerajaan di bawah pimpinan Lim Guan Eng menghina agama dan tidak menghormati hari kebesaran nabi Muhammad SAW. Lainlah ceritanya kalau kerajaan Pulau Pinang tidak mengistiharkan 12 Rabiulawal bukan cuti umum. Tetapi pemimpin Umno akan mengintai apa sahaja isu yang berlaku di Pulau Pinang untuk dieksploitasi supaya meniupkan kemarahan orang-orang melayu kepada Pakataan Rakyat. Fokus mereka bukan untuk ambil Pulau Pinang tetapi ialah untuk menanamkan perasaan benci di kalangan pengundi melayu di negeri-negeri lain. Kerana umno sedar dengan demografi dan kerusi di Pulau Pinang sukar untuk mereka mengambil balik negeri tersebut, walaupun Umno sapu bersih di kawasan Melayu.
Dengan timbulnya isu perarakan maulid Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak golongan yang belajar agama dalam Umno untuk tampil memberikan hujah dan hukum berhubung isu perarakan maulidur Rasul dan bertafakur dihadapan tugu negara. Pada masa ini Umno sengaja menimbulkan rasa kurang senang masyarakat Islam di negara ini dengan memainkan isu perarakan maulidur Rasul di Pulau Pinang, tanpa memberikan kefahaman kepada ahli mereka tentang hukum syiar berkenaan diadakan. Umno menjadikannya bahan politik dan menjaja di seluruh negara seolah-olah perarakan berkenaan adalah sesuatu yang wajib dan menjadi sunnah Rasulullah. Ramai kalangan ahli Umno yang tidak tahu sejarah sambutan Maulidur Rasul ini.
Di antara fakta sejarah mencatatkan bahawa sambutan ini mula diadakan secara rasmi oleh ipar kepada Sultan Salahuddin Al-Ayubi, iaitu Muzaffaruddin Gekburi, yang menjadi penguasa daerah di Irbil, Syria Utara. Sambutannya dibuat secara sederhana dengan majlis doa dan majlis selawat. Kemudian Sultan Salahuddin mengangkat sambutan ini keseluruh pelusuk Kerajaannya dengan niat untuk menyemarakkan syiar agama dan bukannya perayaan yang bersifat ritual semata-mata. Sultan Salahuddin juga mengunakan perayaan berkenaan untuk membangkitan rasa cinta kepada perjuangan Rasulullah dan memberikan semangat kepada tentera Islam yang dipimpinnya untuk menghadapi perang Salib ketika itu. Sambutan pertama diadakan oleh Sultan Salahuddin pada 1184 (580 H) dengan mengadakan pertandingan sayembara puisi khas untuk Rasulullah. Pertandingan ini dimenangi oleh Syekh Ja'far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim yang menulis puisi panjang bertajuk 'Iqd Al-Jawahir (ertinya kalung permata). Puisi inilah yang dibukukan dan dipanggil oleh orang-orang Melayu sebagai buku Barzanji yang diambil sempena nama penulisnya.
Adapun perarakan yang dibuat Sultan lebih kepada perarakan tenteranya yang beramai-ramai ke medan perang sehingga sebahagiannya menemui syahid, sedang yang sebahagian lagi yang masih hidup berjaya menakluki Baitulmaqdis pada 1187 (583 H). Akhirnya sambutan ini telah menjadi tradisi dibeberapa negara termasuk di Malaysia. Walaubagaimana pun sambutannya bukanlah perkara yang diwajibkan dalam Islam, begitu juga jika mahu mengadakan perarakan kerana Islam lebih menuntut umatnya mengamalkan sunnah Rasulullah dan menjunjung Islam sebagai panduan hidup.
Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini pernah mengharamkan majlis sambutan dan perarakan Maulidur Rasul yang didalamnya wujud percampuran antara lelaki dan perempuan. Walaubagaimana pun Fatwa itu dilanggar dan hingga kini masih lagi berlaku percampuran lelaki dan perempuan terutamanya dalam sambutan diperingkat Kebangsaan dan Negeri. PAS bertegas agar umat Islam menunaikan perkara wajib iaitu mengikuti Sunnah Rasulullah dan mengangkat Al-Quran sebagai Perlembagaan hidup berbanding melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah.
Kita lihat sahaja, setiap kali ada sambutan dan perarakan, wang rakyat akan dihabiskan untuk menempah baju baru kepada peserta perarakan dan mengundang penyanyi-penyanyi untuk berhibur sedangkan tidak semua rakyat dapat hadir ke dalam majlis itu. Sebaiknya wang berkenaan digunakan untuk membantu fakir miskin yang masih wujud dinegara ini. Tidak mengapa jika perarakan tidak diadakan kerana boleh digantikan dengan program lain seperti kuliah, berzanji dan majlis-majlis lain yang melibatkan rakyat kebanyakkan diseluruh pelusuk Masjid dan surau dinegara ini.
PAS pelik kenapa Umno begitu bersungguh memainkan isu ini sedangkan dalam masa yang sama mereka menutup mata dan teliga melihat Presiden mereka setiap tahun bertafakur di hadapan tugu negara yang sebelum ini difatwakan sebagai perbuatan syirik oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Ke mana dokumen keputusan Majlis Fatwa itu disimpan. Kenapa ahli-ahli Umno tidak bangkit berdemo atau mengadakan bantahan bila pemimpin umno bertafakur di hadapan tugu negara setiap tahun.
PAS menghargai jasa anggota keselamatan negara, dan mahu jasa mereka itu dikenang dengan Kerajaan memperbanyakan bantuan kepada waris-waris mereka dan bukannya menghabiskan duit membeli bunga untuk dikalungkan pada patung tugu yang tidak bernyawa itu. PAS menyeru kepada ahli Umno supaya mendalami Islam dan bukannya mengambil Islam mengikut keperluan mereka dan membuang sebahagian hukum Islam untuk kepentingan politik mereka.
 
Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wednesday, February 17, 2010

Nelayan Langkawi Jamu Najib Ubi Rebus Sebagai Sindiran Kepada Kegawatan Ekonomi

"Ubi kayu rebus dicicah kelapa parut dan sambal tumis ikan bilis mungkin juadah biasa bagi masyarakat nelayan Kuala Chenang di sini." begitulah laporan akhbar Utusan malaysia hari ini tentang Lawatan Najib Tun Razak yang disambut dengan jamuan Ubi kayu rebus oleh penduduk Pulau Langkawi itu.

Bagi Najib dan ahli Umno-BN itulah program mesra rakyat yang berjaya menaikan imejnya. Tetapi pada rakyat marhaien, juadah itu adalah sindiran tajam masyarakat Nelayan dan marhaien dinegara ini yang begitu terkesan dengan kegawatan ekonomi.

Mac ini sahaja kira-kira 50 ribu kakitangan kontrak Kerajaan akan ditamatkan perkhidmatan dan mereka pasti akan mengalami masalah kewangan selepas itu. Selain itu dasar penjimatan kerajaan telah menyebabkan guru sekolah yang berkursus kini hanya makan nasi bungkus. Ianya jelas sebagai implikasi dari kegagalan pengurusan kewangan negara.

Tetapi yang rakyat sedikit terasa, dalam keadaan kerajaan yang gawat ini tiba-tiba sahaja majalah Malaysian Business mengumumkan Nazir Razak yang juga adik kepada Najib sebagai orang yang ke-40 terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai lebih AS$ 100 juta.

Tercekik pakcik makcik di Kuala Chenang yang sedang santai menjamu Ubi rebus bila membaca berita ini. Mereka pasti tidak lupa bahawa Syarikat kewangan CIMB yang diterajui Nazir pernah menerima bantuan Kerajaan sebanyak RM 3.5 Bilion pada Oktober 2008. Ketika itu Najiblah Menteri Kewangan Negara.

Dalam lawatannya di Kuala Chenang Najib hanya beri RM 7 juta kepada nelayan disitu untuk membina pelabuhan baru, tapi CIMB dapat RM 3.5 Bilion.

Rakyat pasti membuka mata dan faham akan hal ini. Dan Najib harus mengenang ubi rebus itu sebagai satu peringatan yang paling sinis dari rakyat Marhaien. Terima kasih kepada nelayan Kuala Chenang kerana memberikan simbolik yang begitu berkesan pada Najib. Kalau benar Najib mahu membuktikan yang dia berjiwa rakyat, selepas ini wajarlah beliau menjamu ubi rebus tiap-tiap hari sehinggalah keadaan ekonomi pulih. 

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Mahu SPRM Siasat Bagaimana Umno Boleh Gunakan UiTM Pahang Untuk Konvensyen Politik

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempersoalkan tindakan Umno Pahang yang mengunakan fasiliti milik rakyat iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM Jengka, Pahang) untuk program Konvensyen yang bakal dirasmikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. Seramai 2000 orang ahli Umno Pahang dijangka akan berkampung di UiTM Jengka hujung minggu ini.

Konvensyen Umno Pahang diadakan dari 19-21 Februari ini merupakan program politik yang jelas bertentangan dengan Akta UiTM 174 yang tidak membenarkan program politik diadakan didalam Universiti berkenaan. Walaupun ada peruntukan 'dengan kebenaran Menteri' tetapi kebenaran yang diberikan itu boleh dipertikaikan kerana selama ini UiTM begitu keras menolak Mahasiswa dan kakitangannya melibatkan diri dalam politik apalagi membenarkan program politik didalam kampusnya. Kalau dengan alasan sudah mendapat restu Menteri, jawapan itu juga boleh dipersoalkan kerana Menteri Pengajian Tinggi juga adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno.

PAS mahu bertanya kepada Naib Canselor UiTM, berapakah Umno bayar untuk mengunakan fasiliti rakyat itu. Sebelum ini sudah ada rekod bahawa Umno merupakan parti yang culas dan suka mengambil kesempatan dalam mengunakan fasiliti rakyat. Malah pada tahun lepas, Umno pernah diheret ke Mahkamah oleh Syarikat Elegant Advisory Sdn Bhd kerana gagal membayar hutang sebanyak RM 218 juta semasa pilihanraya 2008. Apakah Umno mengunakan fasiliti UiTM secara berbayar atau percuma. Jika berbayar, berapakah nilai sewaan dewan-dewan dan asrama yang mereka gunakan .

Sampai bilakah UiTM mahu membiarkan dirinya terus menerus menjadi hamba kepada Umno. Rakyat sudah jelak melihat Umno memperkudakan UiTM, dimana UiTM tanpa segan silu mengarahkan Mahasiswanya menjadi petugas semasa Persidangan Umno setiap tahun di PWTC.

PAS kesal kerana dalam keadaan ekonomi dan dana Kerajaan yang gawat ini, Umno masih mahu menambahkan beban perbelanjaan. PAS mahu Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat status pengunaan UiTM Pahang sebagai lokasi program Konvensyen Umno ini.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tuesday, February 16, 2010

Kerajaan Najib Alami Masalah Kewangan Serius

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam keadaan kritikal dimana Kementerian dan agensi kerajaan kini telah diarah untuk melaksanakan perbelanjaan berhemah.

Sebelum ini Kerajaan mengarahkan agar semua Pejabat kerajaan mematikan lampu dan semua peralatan elektrik diwaktu rehat sebagai langkah penjimatan bil elektrik. Kemudian Kerajaan membuat dasar mengurangkan aktiviti latihan, peperiksaan dan mengarahkan Kementerian serta Jabatan agar tidak membuat begitu banyak program di Hotel-hotel. Walaubagaimana pun arahan ini tidak semua dipatuhi. Langkah terbaru Kerajaan cuba membekukan aktiviti latihan dibeberapa jabatan.

Tahun lepas sahaja, 1 juta kakitangan awam kecewa kerana Kerajaan sudah tidak mampu membayar bonus dan Najib mengantikannya dengan wang saguhati RM 500 yang dibayar secara ansuran oleh kerajaan.

Kerajaan juga didapati telah mengeluarkan arahan tidak rasmi dibeberapa Kementerian untuk tidak memberikan bayaran berbentuk wang kepada kakitangan yang bekerja lebih masa. Pada waktu ini Kerajaan hanya membenarkan kakitangannya untuk mendapat cuti gantian memandangkan budget pengurusan telah dikurangkan. 

Kerajaan turut membuat dasar mengurangkan pengambilan baru untuk kakitangan sokongan dan Profesional serta melanjutkan tempoh perkhidmatan pegawai yang sepatutnya pencen melalui skim kontrak selama 2 atau tiga tahun.

Semua kakitangan kontrak pula dijangka akan ditamatkan kontrak bermula pada bulan Mac hingga Jun ini

PAS melihat bahawa negara bakal mengalami peningkatan kadar pengangguran yang tinggi menjelang bulan Mac ini ekoran begitu ramai kakitangan kontrak Kerajaan ditamatkan kontrak.

PAS menyarankan agar kerajaan memberikan peluang kepada Kakitangan Kontrak yang ditamatkan ini untuk menyertai GLC milik Kerajaan dan meminta syarikat-syarikat GLC ini agar mengurangkan pengambilan pekerja asing. PAS mendesak agar jumlah kemasukan pekerja asing dikurangkan disemua sektor sebelum akhir 2010.

PAS juga mahu Kerajaan menumpukan perbelanjaan mengurusan dan dalam masa yang sama mengurangkan perbelanjaan pembangunan. Projek pembangunan yang tidak perlu atau tidak mendesak wajar dibekukan pada masa ini.

Beberapa program ekonomi baru perlu diwujudkan, tetapi PAS menolak cadangan Kerajaan yang mahu memperkenalkan GST, kerana ianya tidak releven dengan keadaan ekonomi rakyat pada masa ini. Pada waktu inflasi sebegini, bantuan Kerajaan amat diperlukan tetapi jika kerajaan menaikkan cukai atau meluaskan pakej cukainya maka peningkatan harga barangan pengguna dipasaran tidak boleh dihalang. Tindakan kerajaan menarik beberapa subsidi dalam keadaan sekarang juga dilihat tidak bijak, kerana ianya tidak memberikan manfaat mutlak kepada pengeluar dan pengguna.

PAS juga hairan, kenapa Najib mengurangkan tumpuan kepada program-program pertanian yang sebelumnya diusahakan di zaman Pak Lah, tetapi lebih sibuk mengejar usaha rundingan FTA dengan negara luar khususnya Amerika. Untuk rundingan dengan Amerika sejak empat tahun yang lalu, negara telah belanjakan lebih sejuta wang rakyat, sedangkan belum ada apa-apa perjanjian yang berjaya dimeterai.

PAS berharap agar sebarang rundingan FTA dengan negara luar dibekukan buat sementara waktu memandangkan penguatkuasaan dalam negara pada masa ini terlalu lemah hingga menyebabkan negara menjadi pusat lambakan barangan dari negara China yang mengambil peluang dari perjanjian FTA-China ASEAN.

Negara akan bankrap jika Kerajaan yang dipimpin Najib gagal untuk membangunkan sumber-sumber kewangan baru dan merancang perbelanjaan kerajaan secara bijak. 

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Friday, February 5, 2010

Pulau Pinang Maju, Umat Islam dan Melayu terbela di bawah Pakatan Rakyat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Pulau Pinang kerana berjaya menunjukan prestasi yang begitu membanggakan selepas mentadbir negeri pulau mutiara itu sejak dua tahun yang lalu.

Hasil negeri

Walaupun Barisan Nasional yang kalah dalam Pilihanraya Umum 2008 cuba untuk menaburkan fitnah bahawa Pakatan tidak mampu tadbir negeri itu dengan baik, namun rakyat akhirnya dapat melihat sendiri bagaimana cekapnya pemerintahan dibawah Pakatan.

Pada 2007, Kerajaan BN mensasarkan Belanjawan 2008 mengalami defisit RM35 juta tetapi sebaik sahaja Kerajaan bertukar kepada Pakatan belanjawan itu mengalami lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang. 

Bagi Belanjawan 2009 pula, anggaran defisit dibuat sebanyak RM40 juta tetapi pemerintahan Pakatan sekali lagi memberikan hasil dengan lebihan RM77 juta.

Peruntukan Untuk Institusi Islam

Pada 2008 peruntukan untuk hal-ehwal Islam yang dibuat oleh Kerajaan BN dalam belanjawan tahun sebelumnya hanya bernilai RM12.5 juta, namun pada pembentangan belanjawan tahun 2008 Kerajaan Pakatan telah menambah kepada RM20.5 juta untuk peruntukan 2009. 

Pada pembentangan Belanjawan  2009 peruntukan meningkat lagi kepada RM24.3 juta untuk 2010. Jumlah ini adalah peruntukan tertinggi yang pernah dinikmati oleh intistusi Islam di Pulau Pinang selama ini.

Kerajaan Pakatan juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memberikan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

Kontraktor Melayu tidak diabaikan

Dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno bahawa Melayu dipinggirkan dalam agihan projek dinegeri itu adalah tidak benar. 

Pada 2008, 78 Kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu telah menerima projek melalui sebut harga. Satu kontraktor Melayu dan satu kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka.

Pada 2009, 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima berkurangan kepada 19 syarikat sahaja.

Pada tahun yang sama, projek yang diberi kepada Kontraktor Melayu melalui tender terbuka bertambah kepada 45 syarikat dan bukan Melayu 6 Syarikat.

Peningkatan yang ketara ini membuktikan Kerajaan Pakatan masih menghormati hak kaum Melayu dan tidak menafikan hak kaum lain. Keutamaan pemberian projek adalah bergantung kepada kelayakan, kemampuan dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemohon tanpa mengira kaum mereka.

Inilah bukti kesungguhan, dan iltizam pembangunan yang dilaksanakan hasil dari kepercayaan rakyat dalam Pilihanraya lalu. Pakatan sesekali tidak akan mensia-siakan harapan dan amanah rakyat apabila mentadbir mana-mana negeri.

PAS berharap akan kejayaan ini dapat diteruskan dan rakyat dinegeri berkenaan dapat memberikan keyakinan serta mandat yang berterusan kepada Pakatan untuk penggal yang akan datang.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, February 4, 2010

Kes Enjin Belum Selesai, Kini Kes Maklumat Bocor Pula

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan kerapuhan sistem keselamatan agensi Pertahanan Negara mutakhir ini kerana sebelum kes kehilangan enjin pesawat F5E selesai, kini timbul pula isu kebocoran maklumat sulit Angkatan Tentera Malaysia.

Angkatan Tentera sepatutnya menjadi contoh dan penanda aras kepada sistem keselamatan agensi pertahanan lain, namun insiden terbaru ini menimbulkan kebimbangan dihati rakyat kerana negara ini boleh dianggap tidak selamat. Apa sahaja kekuatan dan kelematan sistem pertahanan yang ada dalam negara ini begitu senang diketahui musuh.

Intergriti anggota keselamatan negara bakal menjadi pertikaian jika ianya gagal ditangani segera. PAS yakin, insiden pembocoran maklumat ini melibatkan pegawai-pegawai kanan berpangkat tinggi kerana dari segi amalan kerahsiaan dalam organisasi Kerajaan dan Pertahanan, hanya mereka yang yang berpangkat tinggi sahaja mempunyai akses terhadap maklumat bertaraf sulit, rahsia dan rahsia besar.

PAS berharap agar agensi Keselamatan Negara membuat kajian semula tentang tahap keselamatan yang ada. Rakyat memerlukan satu jaminan yang kondusif terhadap tahap keselamatan negara. 

Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dinegara maju seperti Jepun pasti akan meletakan jawatan jika perkara sebegini berlaku, adakah Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan  Malaysia perlu dibiarkan sahaja sedangkan ini adalah insiden kedua yang melibatkan kecuaian yang besar dibawah pentadbiran mereka.

PAS mahu Kerajaan mendakwa dan memberikan hukuman yang berat kepada pengkhianat negara yang terlibat dalam kes ini.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Nasir Bukti Umno Parti Perkauman, Dakwa Di Mahkamah

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bertegas untuk mendesak pihak Polis melakukan siasatan dan membuat pendakwaan terhadap pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar yang terang-terangan menghina kaum India dan Cina dinegara ini.

PAS sesekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan hak mana-mana kaum yang sah taraf sebagai warganegara ini. Selagi Umno, MIC dan MCA masih wujud, isu perkauman akan sentiasa menjadi bahan pertikaian.

PAS melihat tindakan Nasir ini sebagai natijah penglibatannya yang sekian lama bergeluman dengan parti perkauman Umno. Nasir perlu dibicarakan kerana jelas pandangannya itu telah menghina intitusi Perlembagaan negara ini yang menjamin hak setiap warganegara tanpa mengira kaum.

Walaupun Nasir menafikan itu pendirian Perdana Menteri, namun jelas Perdana Menteri telah gagal untuk mengajar pegawainya untuk memahami gagasan 1 Malaysia yang dicanangkannya. Jika Pegawai yang rapat dengan beliau boleh menganggap gagasan itu sebagai remeh, bagaimana rakyat mahu percaya keikhlasan Najib terhadap dasar berkenaan.

Jika apa yang Nasir lontarkan itu disebut oleh pimpinan Pakatan pasti mereka sudah dipenjarakan dengan akta ISA. PAS tetap menolak akta ISA dan akta Hasutan. PAS mahu Nasir didakwa segera di Mahkamah.

Jika para Blogger yang menghina Institusi Beraja dinegara ini bioleh dibicarakan, maka Nasir juga berhak untuk menerima tindakan yang serupa walaupun beliau sudah meletakan jawatan sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat